Buruh ladang sawit mati ditetak rakan sekerja

Gambar kecil:Baharudin Abdullah
Gambar kecil:Baharudin Abdullah
A
A
A

DUNGUN - Seorang buruh ladang sawit mati ditetak dengan parang oleh rakan sekerjanya yang juga warga Indonesia dalam kejadian di sebuah rumah kongsi kawasan ladang kelapa sawit Kampung Beril, Paka di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Zukanain Abd Aziz, 39, dari Kampung Bukit Nangka Santong, Paka di sini parah di leher kirinya sebelum disahkan meninggal dunia selepas hampir setengah jam menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, difahamkan mangsa bersama isterinya berusia 34 tahun dan lima anak ke rumah kongsi didiami suspek untuk makan malam, kira-kira jam 8 malam.

Baharudin berkata, menurut isteri mangsa, mereka sekeluarga mengambil keputusan tidur di rumah kongsi terbabit memandangkan suspek dikenali sejak empat tahun lalu tinggal bersendirian selain dilihat seperti ada masalah yang dipendam.

"Selesai makan, suspek dikatakan terus ke laman rumah dan melakukan kerja-kerja menebas belukar tanpa sepatah kata sebelum mangsa mengambil keputusan menghampiri lelaki itu untuk bertanyakan apa masalah yang sedang dihadapi kerana dilihat berperangai agak ganjil.

"Isteri mangsa memaklumkan kira-kira jam 2.45 pagi, dia masih melihat mangsa sedang berbual dengan suspek yang ketika itu sedang menebas di halaman rumah dan turut terdengar rakan sekerja suaminya itu memberitahu yang tidak mempunyai masalah.

"Selesai menebas, wanita itu memberitahu yang dia nampak suspek datang ke arah mangsa dengan memegang sebilah parang diambil di dalam kereta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, kemudian suspek menghampiri mangsa lalu bertindak menetak di leher kiri dengan senjata tersebut sebelum cuba menetak isteri mangsa, namun wanita itu sempat mengelak sebelum melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Baharudin berkata, mangsa yang ketika itu mengalami kecederaan masih menggagahkan diri memandu keretanya keluar dari kawasan kejadian sehingga tiba di tapak pos pengawal pembinaan ECRL Kampung Beril untuk mendapatkan bantuan.

"Mangsa dan isterinya yang turut mengalami kecederaan di tangan kiri dibawa pengawal Keselamatan bertugas ke Klinik Kesihatan Paka.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas hampir setengah jam menerima rawatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Baharudin berkata, suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi ketika sedang bersembunyi di belakang rumah kongsi berkenaan.

Katanya, Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.