Empower ECER bantu peniaga

Norhasimah (dua dari kanan) dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER Terengganu di Unisza, Kuala Nerus semalam.
Norhasimah (dua dari kanan) dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER Terengganu di Unisza, Kuala Nerus semalam.
A
A
A

KUALA NERUS - Bermula dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan hasil jualan ketupat palas, seorang wanita kini mampu tersenyum apabila berjaya memiliki kilang produk sejuk beku sendiri untuk produk ketupat yang dihasilkannya.

Lebih membanggakan, ketupat palas yang dihasilkan Norhasimah Abd Ghani dari Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu menerusi syarikatnya, Hulwah Frozen Food turut dipasarkan ke luar negara seperti Singapura dan Arab Saudi dengan pendapatan lebih RM21,000 sebulan.

Norhasimah berkata, program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang disertai sejak tahun 2016 banyak mengubah hidupnya sehingga boleh mengupah seramai empat pekerja.

“Masa mula berniaga pada tahun 2014, saya hanya buat sebanyak 100 biji ketupat sehari dan diletakkan di kedai. Kemudiannya saya ternampak iklan empower ECER di laman sosial lalu saya nekad menyertai kursus dan lati-han yang disediakan bagi memajukan perniagaan saya.

“Melalui empower ECER, banyak ilmu saya peroleh, antaranya cara pasarkan produk, cara melayan pelanggan dan menguruskan akaun sehingga saya berjaya hasilkan sebanyak 40,000 biji ketupat palas pelbagai jenis sebulan serta mendapat pensijilan halal,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini semalam.

Susulan kejayaan dan prestasi cemerlang dalam meningkatkan pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan, Norhasimah yang berhasrat menambah seramai tiga lagi pekerja turut dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER pada majlis tersebut.

Seramai 800 peserta yang menerima sijil tamat kursus Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER diraikan dengan 11 peserta diberikan Anugerah Usahawan empower ECER, manakala seramai 15 peserta Latihan Akademik empower ECER menerima Anugerah Juara empower ECER kerana mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Baidzawi berkata, pada tahun lalu, Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER di Terengganu telah melahirkan seramai 426 usahawan dan sebanyak 959 peluang pekerjaan dengan purata gaji bulanan sebanyak RM2,000.

“Program latihan akademik pula telah memberi bimbingan kepada seramai 1,518 pelajar berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam akademik dengan Mencapai Tahap Minimum (MTM) 76 peratus. Sebelum program ini, MTM yang dicapai sebanyak 38 peratus,” katanya.