'Tolong beli choco jar saya'

Nurul berharap orang ramai dapat membeli choco jar yang dijualnya.
Nurul berharap orang ramai dapat membeli choco jar yang dijualnya.
A
A
A

SEREMBAN - Saya sangat berharap orang dapat membantu saya dengan beli choco jar yang saya jual untuk tampung kos perubatan anak, kata Nurul Ashafiqah Azlan, 23.

Anak sulungnya Nur Iman Fitriah Abdullah berusia 2 tahun menghidap penyakit sawan saraf sejak berusia tiga bulan manakala anak keduanya Mohamad Iman Khalifah, 19 bulan pula menghadapi masalah autisme.

Menurutnya, sejak kali pertama kisah penderitaan anaknya dilaporkan oleh sebuah akhbar, ramai membantu sehingga ada yang bermurah hati memberi kereta bagi memudahkannya berulang alik ke hospital.

"Saya betul-betul terharu dan berterima kasih pada pihak yang prihatin. Jika selama ini saya dan suami terpaksa naik motosikal atau pengangkutan awam, sekarang kami sudah ada kereta.

"Tapi yang jadi masalah sekarang perbelanjaan harian dan kos merawat Nur Iman memandangkan dia perlu minum susu khas yang memerlukan kos kira-kira RM500 sebulan," katanya yang tinggal di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi di sini.

Oleh sebab itu menjadi harapannya agar orang ramai dapat membantunya dengan membeli makanan yang dijual dengan harga antara RM2 hingga RM5 sebekas.

Nurul bersama anak sulungnya, Nur Iman Fitriah Abdullah berusia 2 tahun yang menghidap penyakit sawan saraf.
Nurul bersama anak sulungnya, Nur Iman Fitriah Abdullah berusia 2 tahun yang menghidap penyakit sawan saraf.



Sebelum ini Nurul berkata, dia dan suami berniaga tauhu begedil namun tidak dapat diteruskan kerana modalnya agak tinggi.

"Jadi sekarang saya jual choco jar pula. Kadang-kadang saya dan suami mengutip tin, kotak dan pelbagai barang terbuang yang boleh dijual.

Artikel Berkaitan:

"Dulu kami suami isteri memang bekerja di sebuah kedai serbaneka tapi terpaksa berhenti kerana kerap sangat ambil cuti kecemasan bagi urusan membawa Nur Iman berulang alik ke Hospital," katanya.

Nurul berkata, anaknya akan diserang sawan lebih dari lima kali setiap hari dan kini hanya terbaring selain tidak boleh makan dan minum kerana rongga mulutnya tertutup serta alami rabun kronik.

Katanya, anaknya juga hanya makan dan minum melalui tiub yang disalurkan melalui hidung selain perlu minum susu khas.

“Nur Iman tidak boleh makan dan minum kerana rongga mulutnya tertutup dan sebab itu dia hanya boleh minum susu khas.

"Untuk beli susu khas itu saja kami memerlukan sehingga RM500 sebulan. Susu itu mahal, ditambah pula kami perlu ulang alik ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini setiap bulan dan Hospital Kuala Lumpur, tiga bulan sekali," katanya.

Nurul berkata, dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) dan juga bantuan lampin pakai buang dan susu daripada Baitulmal.

Bagaimanapun katanya, bantuan Baitulmal yang diterima November lalu kini sudah ditamatkan.

"Kami kini sedang dalam proses buat permohonan baru, harapnya dipermudahkan. Rumah sewa kami ini pun dah lama tertunggak yang kini mencecah RM2,450," katanya.