Penyelia ladang nanas maut kemalangan

Keadaan kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 122, Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, petang semalam. - Foto ihsan bomba
Keadaan kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 122, Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, petang semalam. - Foto ihsan bomba
A
A
A

KUANTAN - Seorang kanak-kanak antara dua mangsa yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 122 Jalan Kuantan- Johor Bahru, Rompin petang semalam.

Ketika kemalangan pada jam 4 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Naimzah Lazim, 27 dan penumpangnya, Andrechia Ali, 9, kedua-duanya dari Kampung Pinang, Jalan Muadzam Shah, Rompin.

Dua mangsa itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta itu, Lizan Lazim, 16, hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang terlibat dalam kemalangan itu, Muhammad Farhat Burhanudin, 19, dan penumpangnya, Fatimah Othman,74, cedera parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta Perodua Myvi yang dipandu Naimzah yang juga penyelia di Ladang Nanas Bersepadu Rompin bersama dua penumpangnya (pelajar) dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dilanggar Toyota Innova dipandu Muhammad Farhat yang terbabas masuk ke laluannya dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Myvi berpusing sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian, Naimzah dan Adrechia meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun pemandu dan penumpang Toyota Innova yang cedera parah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini," katanya.

Beliau berkata, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Pahang menerima panggilan berhubung kemalangan itu melalui MERS 999 jam 4.18 petang.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin bersama dua jentera ke lokasi untuk bantuan menyelamat.