Keselamatan penyokong keutamaan MFL

Stadium Shah Alam.
Stadium Shah Alam.
A
A
A

RENTETAN isu kerosakan bumbung Stadium Shah Alam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu sentiasa meletakkan keselamatan penyokong sebagai keutamaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya akan meminta Persatuan Bola Selangor (FAS) merujuk kepada pihak berwajib menguruskan gelanggang keramat skuad Gergasi Merah itu bagi mendapatkan kepastian mengenai status kerosakan bumbung tersebut.

Menurutnya, bumbung jenis polycarbonate yang digunakan di Stadium Shah Alam sejak pembinaannya pada 1994 itu telah melangkaui jaminan jangka hayat selama 10 tahun dan MFL mengakui perkara tersebut menimbulkan kekhuatiran tentang keselamatan penyokong.

“Daripada pemeriksaan ke atas stadium itu, kita mendapati padang dan spesifikasi lain menepati tahap piawaian untuk diadakan perlawanan Liga-M tetapi dari segi bumbung itu memang ada sedikit kerosakan yang mana MFL menganggap ia sebagai satu kerisauan buat kami.

“Insya-ALLAH kalau boleh kita akan minta FAS dapatkan kepastian dari segi teknikal sama ada bumbung itu selamat ataupun tidak. Seperti kita tahu tempoh jangka hayat bumbung itu adalah 10 tahun dan pembinaan Stadium Shah Alam pada 1994, jadi ia telah melangkaui jaminan tersebut,” katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara CIMB Group Holdings Berhad (Kumpulan CIMB) dan MFL hari ini turut mengesahkan pihaknya akan membuat pemeriksaan kali kedua dengan aspek kerosakan bumbung menjadi fokus utama.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Selangor tetap dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam musim ini, Ab Ghani berkata: “Insya-ALLAH.”

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dipetik sebagai berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal kepada FAS untuk segera melakukan kerja-kerja membaik pulih stadium termasuk dari aspek bumbung.

Artikel Berkaitan: