Tiada larangan rasmi, Zakir perlu patuhi garis panduan

Mujahid menyampaikan peruntukan e-Khas berjumlah RM110,000 kepada 13 NGO.
Mujahid menyampaikan peruntukan e-Khas berjumlah RM110,000 kepada 13 NGO.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tidak ada larangan rasmi terhadap penceramah dari India, Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah mahupun mengadakan forum di sekitar Wilayah Persekutuan.

Mujahid berkata, seperti semua penceramah lain, Zakir juga tertakluk untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.

Mujahid berkata, pihaknya mengambil dasar terbuka terhadap mana-mana penceramah yang ingin menyampaikan ceramah termasuk Zakir.

"Semua penceramah agama yang berhasrat menyampaikan ceramah mereka perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.

"Pengajur kepada program ceramah perlu membuat permohonan dan selagi tidak ada isu tentang penceramah itu termasuk dari segi aduan, kontroversi atau perkara lain yang mungkin menimbulkan masalah kepada masyarakat Islam dan Malaysia, tiada halangan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Peruntukan e-Khas kepada 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada kementerian itu, di sini, hari ini.

Beliau ditanya berhubung dasar yang diambil pihaknya berhubung halangan atau larangan ke atas forum atau ceramah membabitkan Zakir.

"Secara dasarnya tidak ada halangan dalam konteks kerajaan hari ini untuk beliau (Zakir) atau mana-mana penceramah menyampaikan ceramah.

"Cuma perkara biasa dibuat iaitu kita nak tengok siapa penganjur dan kalau badan bukan kerajaan (NGO) adakah mereka berdaftar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama katanya penceramah itu perlu dinilai sama ada mereka boleh menimbulkan isu-isu nasional, keselamatan dan keharmonian antara kaum atau apa-apa fahaman dan ajaran yang dianggap tidak sesuai dengan umat Islam di Malaysia.

Beliau mengingatkan, di negara ini tidak ada 'tangan mutlak' yang berkuasa terhadap peraturan berkaitan hal ehwal Islam kerana ianya tertakluk pada Jabatan Agama Islam Negeri.

"Sebagai contoh sekiranya di negeri Selangor , maka Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) mempunyai kuasa menentukan tauliah, bukan kami.

"Begitu juga dengan negeri-negeri lain melainkan Wilayah Persekutuan namun ada kalanya mereka minta nasihat kita akan bagi nasihat,"katanya.

Sementara itu mengulas mengenai dakwaan kerajaan India bahawa penceramah itu menyampaikan ceramah berbaur kebencian, Mujahid berkata, kehadiran beliau (Zakir) sehingga hari tidak menimbulkan masalah kepada negara ini.

"Zakir berada di negara kita tetapi kita tidak mengekstradisi beliau kerana setakat ini kehadiran beliau tidak menimbulkan masalah kepada kita.

"Bagaimanapun beliau tetap perlu mengikuti peraturan-peraturan negara dan negeri yang telah ditetapkan," katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melalui satu temubual bersama media di India menegaskan, Malaysia masih memerlukan lebih banyak bukti rasmi daripada kerajaan India sebelum boleh mengekstradisi Zakir.

Mujahid sebelum itu menyerahkan peruntukan e-khas sebanyak RM110,000 kepada 13 badan bukan kerajaan dan persatuan dari Selangor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Peruntukan itu selaras dengan kelulusan kabinet pada Julai tahun lalu untuk memberi peruntukan khas Perdana Menteri (e-khas) berjumlah RM1 juta kepada Menteri Persekutuan dan RM500,000 kepada Timbalan Menteri untuk diagihkan kepada NGO dan persatuan yang layak.