Kedah, Perak rebut Unity Shield

Dari kiri Aidil Sharin, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa, ketua pasukan Perak, Nazirul Naim Che Hashim dan Mehmet memperagakan Unity Shield yang menjadi rebutan pada Ahad ini di Stadium Darul Aman. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
Dari kiri Aidil Sharin, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa, ketua pasukan Perak, Nazirul Naim Che Hashim dan Mehmet memperagakan Unity Shield yang menjadi rebutan pada Ahad ini di Stadium Darul Aman. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

KEDAH dan Perak menjanjikan aksi menarik merebut edisi sulung Unity Shield di Stadium Darul Aman pada Ahad ini sempena persiapan pramusim 2019.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, Lang Merah menghormati The Bos Gaurus (TBG) selaku juara bertahan Piala Malaysia 2018 dan menjadi penghormatan kepada pasukannya menghadapi lawan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan.

Bagaimanapun menurutnya, Kedah serius dengan perlawanan tersebut dan bersedia memberikan cabaran terbaik dalam usaha untuk memenangi edisi sulung berkenaan yang diilhamkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi mengeratkan hubungan dua hala pasukan utara itu.

"Kami ambil serius dengan perlawanan ini selain merupakan satu perlawanan ujian yang bagus untuk Kedah kerana Perak adalah juara bertahan Piala Malaysia.

"Walaupun kami mencatatkan satu keputusan positif pada perlawanan persahabatan bertemu Kelantan sebelum ini, semua pemain perlu segera melupakan kemenangan 4-1 tersebut kerana Kedah bakal berdepan dengan sebuah pasukan yang lain. Komitmen sebagai sebuah pasukan sangat dituntut," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman, petang tadi.

Aidil Sharin berkata, perlawanan tersebut penting buat Lang Merah kerana pertama kali diadakan di laman sendiri selain di hadapan puluhan ribu penyokong setia mereka.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic pula berkata, pasukannya bersedia menyajikan satu persembahan yang menarik biarpun beberapa tonggak utamanya masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan.

Menurutnya, TBG yang tidak melakukan rombakan besar-besaran pada skuadnya bagi musim 2019 akan memberikan tentangan sengit kepada tuan rumah dan pasukan terbaik akan keluar sebagai pemenang.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir usaha diantara dua pengurusan pasukan Perak dan Kedah sangat bagus kerana 50 peratus keuntungan akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan di negeri Kedah.

"Perlawanan ini juga penting dalam persiapan pramusim 2019 kerana Kedah juga adalah sebuah pasukan hebat di Liga Malaysia," katanya.