Apa keperluan Pas bawa usul, soal Mukhriz

Mukhriz (kiri) menerima watikah jemputan Kontinjen Kedah ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 daripada Dr Sahruddin di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (kiri) menerima watikah jemputan Kontinjen Kedah ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 daripada Dr Sahruddin di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoal tindakan Pas yang berhasrat mengemukakan usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula bulan depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, dengan jumlah Pas hanya mempunyai 19 Ahli Parlimen, jumlah itu tidak mencukupi untuk beroleh majoriti dalam dewan.

Beliau turut mempersoalkan kaedah digunakan Pas sekiranya mahu mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.

“Macam mana mereka mahu usulkan dengan hanya 19 kerusi dalam Parlimen. Saya tak pasti apa kaedah dan keperluan Pas berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian watikah jemputan Kontinjen Kedah ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Wisma Darul Aman hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tetap sokong kepimpinan Dr Mahathir

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan kemukakan usul menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, atas kepentingan awam.

Kesemua 19 Ahli Parlimen Pas akan beri sokongan kepada Dr Mahathir sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.

Mukhriz turut membidas dakwaan bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor yang menyifatkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) lemah susulan gagal perjelaskan dua isu berbangkit, iaitu pembentukan Pakatan Nasional melibatkan kerjasama Bersatu, UMNO dan Pas serta tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Setakat yang saya hadir mesyuarat Majlis Presiden PH, tak pernah ditimbulkan mengenai Pakatan Nasional. Istilah itu pun baru lagi, bukan istilah digunakan sebelum ini. Yang pernah kita dengar Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas pertahan usul percaya terhadap PM

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, beliau tidak pasti sama ada perkara itu akan dijadikan agenda mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan datang.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya sendiri tidak tahu bagaimana isu pembentukan Pakatan Nasional tercetus, seterusnya menjadi spekulasi politik tanah air.

“Dr Mahathir sudah jelaskan beliau terima sesiapa sahaja yang mahu berjumpa beliau termasuk pembangkang, tak perlu buat spekulasi kerana itu kebiasaan seorang pemimpin peringkat nasional berjumpa pemimpin negeri,” katanya.

Berhubung isu peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mukhriz berkata, perkara itu sudah beberapa kali diperjelaskan oleh kedua-dua pihak.