Warga emas ditumbuk selepas minta alih kereta

ABDUL ROZAK
ABDUL ROZAK
A
A
A

BESUT - Hanya kerana minta dialihkan kereta, seorang peniaga warga emas ditumbuk sehingga cedera oleh lelaki dikenalinya dalam kejadian di Pekan Jerteh, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun hendak melakukan kerja-kerja menurunkan barang di hadapan kedai runcitnya tetapi dihalang sebuah kereta yang diparkir di situ.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa kemudian meminta lelaki berusia 30-an yang dikenalinya itu mengalihkan kenderaannya.

"Mangsa menegur dengan cara baik agar mengalihkan kenderaan tersebut kerana mengganggu kerja-kerjanya untuk menurunkan barang.

"Selain itu, mangsa memaklumkan yang tindakan suspek meletakkan kereta di situ tidak sesuai kerana menghalang lalu lintas kenderaan hendak keluar masuk ke kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Rozak berkata, bagaimanapun teguran mangsa menyebabkan suspek tidak puas hati sehingga menumbuk muka mangsa sehingga cedera.

"Akibat tindakan itu, mangsa terpaksa menerima rawatan susulan di Hospital Besut, di sini," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel Berkaitan: