Tun M pegang prinsip 'janji tetap janji'

Wan Azizah bercakap pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Wan Azizah bercakap pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim jika mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat disifatkan berpegang kepada prinsip 'janji tetap janji'.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, menjadi satu kemestian bahawa jawatan Perdana Menteri perlu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Memang 'promise is a promise'," katanya ringkas mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir mengenai peralihan kuasa itu ketika ditemu bual portal The Malaya Post semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Quill City Mall di sini hari ini.

Dalam wawancara bersama The Malaya Post, Dr Mahathir menegaskan, beliau akan menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar tetapi keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, jika seorang calon itu daripada parti yang memiliki majoriti tetapi dia sendiri tidak mendapat sokongan majoriti, maka dia tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri.

"Kita berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi Perdana Menteri kerana dapat sokongan daripada parti (gabungan PH) saya, terutama daripada majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Kalau saya tidak hendak letak jawatan tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahlinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, PKR adalah parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 Ahli Parlimen diikuti DAP (42), Bersatu (26), Parti Amanah Negara (11) dan sekutu PH, Warisan (sembilan).