Gangguan bekalan air di Ampang pulih 95.3 peratus

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Abdul Halem Mat Som
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Abdul Halem Mat Som
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status pemulihan bekalan air di kawasan Ampang mencapai tahap 95.3 peratus sehingga jam 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, buat masa ini, tiga kawasan yang berada di penghujung sistem bekalan air masih dalam proses pemulihan sepenuhnya.

Beliau berkata, kawasan terlibat adalah Kampung Ampang Campuran, Kampung/Taman Tasek Tambahan dan Taman Sri Bayu Ampang.

"Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang telah mula menerima bekalan air di kawasan tersebut untuk menggunakannya secara berhemah.

"Penggunaan air secara maksimum pada ketika ini oleh pelanggan yang telah menerima bekalan air akan melambatkan lagi proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan bahawa pengguna di 57 kawasan sekitar Ampang bakal berdepan gangguan bekalan air susulan kejadian paip pecah di Rumah Pam Hulu Kelang.

Dalam pada itu, Abdul Halem berkata, sehingga kini, bantuan bekalan air menerusi lori-lori tangki terus digerakkan dengan tumpuan ke tiga lokasi yang masih belum pulih.

"Pelanggan juga digalakkan untuk terus ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) bertempat di AEON Big Ampang, Taman Dagang Permai dan Pili Awam Lembah Jaya untuk mendapatkan bantuan atau boleh juga hubungi talian 15300," katanya.

Artikel Berkaitan: