Tidak mudah untuk bubarkan Muafakat Nasional

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Pakatan Nasional tidak pernah wujud dan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, bahkan parti itu hanya memberi tumpuan untuk memperkasakan Muafakat Nasional yang dibentuk bersama Pas.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bukan mudah untuk mensia-siakan usaha menubuhkan Muafakat Nasional semata-mata kerana mahu mewujudkan Pakatan Nasional.

"Tidak ada istilah Pakatan Nasional, yang ada hanyalah Muafakat Nasional. Seperti yang semua ketahui, kita sudah menandatangani piagam dan proses menandatangani ini bukanlah mudah.

"Ia melalui proses pergi ke semua bahagian, semua negeri sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Silaturrahim Bersama Penduduk Kampung Pasir Puteh Dewan Dato’ Raduan Kassim Kampung Pasir Puteh Sempena Program Aspirasi Akar Umbi Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman dan pimpinan UMNO Bahagian Ipoh Timur.

Asyraf Wajdi beramah mesra bersama penduduk Kampung Pasir Puteh di Ipoh semalam.
Asyraf Wajdi beramah mesra bersama penduduk Kampung Pasir Puteh di Ipoh semalam.

Menurutnya, Pas pula membawa usul kerjasama itu ke majlis syura ulama dan muktamar bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan sebelum termeterai piagam Muafakat Nasional.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi logik akal, takkan tiba-tiba ada pihak sama ada UMNO dan Pas tiba-tiba mahu membubarkan (Muafakat Nasional) begitu sahaja," katanya

Spekulasi mengenai pembentukan Pakatan Nasional tercetus selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat pendedahan mengenai perkara itu menerusi Facebooknya pada 3 Februari lalu.

Menerusi video yang dimuat naik itu, Lokman mendakwa terdapat perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk satu pakatan baharu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang berlangsung Isnin lalu.

Perkara itu kemudiannya disokong Pas yang melihat pada dasarnya pembentukan Pakatan Nasional itu bertujuan mengembalikan tampuk pemerintahan negara kepada Melayu Islam.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang perubahan yang bakal berlaku perlu mengikut saluran yang betul.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim sebenarnya yang celaru ketika memberi kenyataan bahawa Muafakat Nasional berdepan kecelaruan identiti.

Katanya, tidak berlaku sebarang kecelaruan seperti dikatakan antara UMNO dan Pas sebaliknya mereka terus fokus memperkasakan Muafakat Nasional.

"Kami di peringkat pimpinan UMNO dan Pas tegas dan setakat ini tetap dengan pendirian memperkasakan Muafakat Nasional.

"Konvensyen negeri-negeri juga sudah bermula yang akan menyemarakkan lagi persefahaman semangat permuafakatan ini bukan sahaja di peringkat atas tetapi di akar umbi," katanya.