Keharmonian melalui pendidikan

Semangat keharmonian dapat diperkukuhkan melalui sistem pendidikan negara yang diselaraskan tanpa mengira perbezaan kaum.
Semangat keharmonian dapat diperkukuhkan melalui sistem pendidikan negara yang diselaraskan tanpa mengira perbezaan kaum.
A
A
A

KANGAR - Semangat perpaduan dan keharmonian dapat diperkukuhkan melalui sistem pendidikan negara yang diselaraskan tanpa mengira perbezaan kaum.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Noorizal Zakaria berkata, sistem pendidikan yang selaras mampu mewujudkan persefahaman melalui pergaulan dan pembelajaran sekali gus menghapuskan pengasingan pergaulan antara kaum.

Noorizal berkata, antara krisis utama perpaduan kaum kini ialah pergaulan yang tidak dipupuk dari awal pendidikan.

“Sejak kanak-kanak, ibu bapa lebih memilih untuk menghantar anak-anak belajar di sekolah yang mempunyai pengasingan antara kaum.

“Secara logiknya masa anak-anak lebih dihabiskan di sekolah, jadi seharusnya keharmonian dan perpaduan itu dapat dipupuk,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Noorizal, itu adalah penyebab GPMS begitu menekankan sistem pendidikan yang selaras diguna pakai di seluruh negara ini.

Noorizal
Noorizal

Katanya, keharmonian antara kaum sangat penting bagi memastikan nikmat kemerdekaan, pembangunan dan kehidupan rakyat hari ini dapat terus dikecapi.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini kita bersenang lenang bersama ahli keluarga dan hidup berbahagia namun jika keharmonian kaum tidak dipelihara tidak mustahil kekecohan dalam kehidupan bakal berlaku,” katanya.

Bagi memastikan keadaan seperti ini tidak terjadi, setiap kaum walaupun berlainan agama dan kepercayaan perlu berusaha memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain.

“Bagaimanapun, kesukaran bakal berlaku jika tidak ada satu titik temu bermula daripada kanak-kanak.

“Sistem pendidikan dan pengenalan antara kaum tidak diterapkan disebabkan sistem persekolahan yang berpecah dan pemikiran kanak-kanak ditanam sejak kecil oleh pelbagai momok keburukan kaum atau bangsa yang berlainan dengan mereka,” ujarnya.

Katanya, GPMS mempunyai idea bahawa sekolah berlandaskan satu bumbung atau satu aliran sahaja diwujudkan.

“Sistem ini perlu bermula di peringkat tadika sehingga sekolah menengah dan juga perlu diisi dengan silibus pembelajaran pembudayaan antara kaum dan kesedaran sivik.

“Sejak sekian lama, dunia memandang tinggi kepada Malaysia kerana berjaya menyatukan penduduk berbilang kaum di bawah satu pentadbiran negara. Propaganda meraih populariti yang mengganggu keharmonian kaum perlu dihentikan.

“Zaman teknologi media massa yang pesat kini menyebabkan mudahnya penyebaran maklumat palsu yang mampu mengganggu gugat sesuatu hubungan baik,” katanya.

Justeru, Noorizal berkata, beliau menyokong kempen Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni anjuran Sinar Harian dalam usaha menyatupadukan rakyat.