X

Kindly register in order to view this article
!

Setiap pasukan tetap terima agihan hak penyiaran

Ab Ghani Hasaan
A
A

Kesemua 24 pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) dijamin akan terus menikmati agihan hak penyiaran bagi saingan musim ini, namun jumlahnya bergantung kepada nilai keseluruhan tajaan diraih Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hasaan berkata, MFL sentiasa menghormati hak pasukan bertanding dan sedang dalam usaha mencari lebih banyak penaja.

"Kita masih bergerak mencari penajaan untuk musim ini. Di peringkat MFL, kita mengharapkan lebih banyak penajaan kerana kita ada tanggungjawab kepada rakan kongsi.

"Hak penyiaran itu semestinya ada dan ia hanya akan dimaklumkan kepada rakan kongsi ketika perjumpaan nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama bersama Telekom Malaysia (TM) Berhad menerusi anak syarikat, TM Multimedia (TMM) sebagai penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 hingga 2022 hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini dipetik sebagai berkata, jumlah hak penyiaran bagi saingan musim 2020 berkemungkinan besar dikurangkan susulan kesukaran mendapatkan penajaan.

Pasukan Liga Super dan Liga Premier sebelum ini menerima hak penyiaran Liga-M musim 2019 masing-masing bernilai RM3 juta dan RM1 juta, namun hanya menerima separuh daripada jumlah tersebut berikutan MFL berhadapan kekangan kewangan akibat ketiadaan penaja utama.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, dengan nilai tajaan serta keadaan ekonomi semasa memaksa MFL menangguhkan rancangan menubuhkan badan bebas pengadil Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).

"Setakat ini ia (PMOM) ditangguhkan kerana memerlukan perbelanjaan yang besar...begitu juga dengan VAR (video bantuan pengadil), ia juga kita terpaksa tangguh," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus