Dr Sahruddin dilantik Timbalan Pengerusi PH Johor

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal. - Foto Bernama
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini bersetuju melantik Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai salah seorang daripada lima Timbalan Pengerusi PH Johor.

Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat parti itu yang berlangsung di ibu pejabatnya, di sini hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mazlan Bujang; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi PKR, Jimmy Puah Wee Tse.

Ketika ini, empat Timbalan Pengerusi PH Johor yang lain ialah Mazlan, Chin Tong, Aminolhuda dan Pengerusi PKR Johor yang juga merupakan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kita harap kehadiran Menteri Besar ini dapat menjelaskan banyak perkara yang tidak berapa kita (parti) ketahui iaitu tentang dasar-dasar dan program-program yang telah atau pun akan dilaksanakan di peringkat negeri sebagai contoh isu cukai tanah, program peringkat kerajaan negeri, pembinaan Universiti Johor.

“Hal-hal sebegini adalah sebahagian perkara yang kita telah putuskan dalam manifesto yang hendak dilaksanakan dan maklumat mengenainya (dasar dan program) amat berguna untuk PH,” kata beliau dalam sidang media sejurus mesyuarat itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH Johor akan mengadakan satu konvensyen pada April ini sebagai memberi peluang kepada kepimpinan negeri menyuarakan pandangan mereka berhubung isu semasa, dasar dan juga pelaksanaannya.

“Saya kira memang wajar kita adakan konvensyen ini selepas hampir dua tahun PH tertubuh kerana banyak usaha dilakukan di peringkat negeri dan Persekutuan yang sebenarnya ramai rakyat tidak tahu. Mungkin kerana sebaran maklumat tidak berapa meluas.

“Jadi, konvensyen ini akan memberikan tumpuan kepada apa-apa inisiatif yang telah kita laksanakan selama ini dan hala tuju PH untuk masa hadapan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: