Jangan hanya pandai cakap

Khalid Ali
Khalid Ali
A
A
A

PEMINAT bola sepak di negara ini seharusnya tidak mempertikaikan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaturalisasikan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi untuk membolehkan pemain berusia 28 tahun itu menyarung jersi Harimau Malaya.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata, tindakan FAM itu harus dipuji apatah lagi ia bakal memberikan nilai tambah kepada skuad kebangsaan bersaing di peringkat yang lebih tinggi berbanding Asia Tenggara.

Malah, beliau juga masih percaya kemampuan Liridon walaupun ramai menyifatkan pemain kelahiran Kosovo itu kurang berkualiti dan tidak layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Banyak negara lain sudah ambil pemain naturalisasi untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. Jadi apa masalahnya? Semua orang sepatunya positif dengan langkah ini.

“Jangan cepat buruk sangka tanpa melihat dahulu apa yang boleh disumbangkan Liridon kepada pasukan kebangsaan nanti. Apabila beliau telah bermain dan tidak mencapai apa yang diharapkan, barulah kita boleh menegur,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain naturaIisasi beri impak positif kepada Harimau Malaya

Terdahulu, FAM mengumumkan Liridon sah menjadi warganegara Malaysia selepas menerima MyKad di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya baru-baru ini.

Liridon akan mengikut jejak langkah pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh beraksi bersama skuad kebangsaan, namun kini hanya perlu menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, tindakan FAM membawa masuk Liridon itu tidak disenangi sebilangan penyokong bola sepak negara apabila menyifatkan pemain itu tidak berkualiti untuk Harimau Malaya selain sikapnya yang sering besar kepala sekali gus tidak layak memperoleh status warganegara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, kata Khalid, Liridon mampu memberikan dimensi baharu kepada jentera tengah Harimau Malaya selain pengalamannya ditagih untuk beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bersambung semula Mac ini.

“Pada saya beliau pemain terbaik dan boleh bermain tiga atau empat tahun lagi di peringkat tertinggi. Saya percaya gandingannya bersama beberapa pemain tempatan seperti Safawi Rasid akan memberikan impak yang bagus.

“Saya juga lihat beliau mempunyai kelebihan berbanding pemain tempatan yang lain dan atas faktor itu beliau dipilih untuk bermain bersama Harimau Malaya.

“Bagi saya, semua pihak kena buka minda. Tindakan ini bukan langkah ke belakang tetapi salah satu cara untuk meningkatkan mutu skuad negara,” katanya.