X

Kindly register in order to view this article
!

Pemain naturaIisasi beri impak positif kepada Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaya.
A
A

SKUAD Harimau Malaya bakal mendapat tonik tambahan menjelang pertemuan menentang Emiriyah Arah Bersatu (UAE) di Dubai bulan depan andai bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi diserap masuk sebagai pemain terbaharu naturalisasi negara.

Bagi bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha, beliau melihat kehadiran Liridon mampu mencetuskan impak positif buat Harimau Malaya yang sebelum ini menagih kudrat pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.

Menurut Hashim, kelibat Liridon atau lebih mesra dengan panggilan Mat Don sudah pasti dapat menyuntik semangat baharu buat Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang UAE pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

“Bagi saya kehadiran pemain-pemain naturalisasi ini satu perkembangan yang baik kepada pasukan kebangsaan. Ini kerana UAE juga dikhabarkan ada menggunakan pemain naturalisasi dalam usaha memantapkan pasukan mereka.

“Dengan adanya pemain naturalisasi ini, pemain-pemain lawan juga akan gerun apabila tengok pasukan kebangsaan kita. Sebenarnya kita boleh bersaing dengan mana-mana pasukan, buat apa nak takut?

“Jadi kalau ikut segala perancangan yang betul daripada Ketua Jurulatih (Harimau Malaya) Tan Cheng Hoe, tidak mustahil pasukan kebangsaan mampu mencipta kejutan apabila berdepan dengan UAE nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Liridon kini hanya selangkah lagi untuk bergelar pemain baharu naturalisasi skuad Harimau Malaya selepas dia sah mendapat kerakyatan warganegara Malaysia kelmarin.

Kehadiran Liridon pastinya amat dinanti-nantikan bukan sahaja kepada seluruh peminat dan penyokong bola sepak negara, malahan skuad Harimau Malaya yang dalam misi memburu tiket automatik Piala Asia 2023.

Harimau Malaya dijadualkan menentang UAE di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac sebelum berdepan pendahulu Kumpulan G, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil lima hari kemudian.

Atas kertas, anak-anak buah Cheng Hoe perlu sekurang-kurangnya mengutip empat mata daripada dua perlawanan tersebut dengan tiga mata wajib diraih ketika menentang Vietnam bagi mencerahkan peluang layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

“Inilah masanya pemain-pemain terutamanya pemain naturalisasi menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin. Para peminat dan penyokong negara pastinya mengharapkan sumbangan berkesan daripada pemain naturalisasi ini,” jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!