X

Kindly register in order to view this article
!

MCA ambil sikap tunggu, lihat

Ka Siong (empat dari kanan) bersama pimpinan MCA, MIC dan UMNO Kedah pada majlis Tahun Baru Cina MCA Kedah hari ini.
A
A

ALOR SETAR - MCA mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung spekulasi penubuhan pakatan politik baharu yang diuar-uarkan sebagai Pakatan Nasional.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tidak wajar untuk membuat sebarang andaian bahawa Pakatan Harapan (PH) kini berpecah kerana ia belum berlaku secara realiti.

“Tak perlu fikirkan sekarang sebab isu belum berbangkit. Jangan tunggu ‘durian runtuh’ seolah-olah akan berlaku sesuatu.

"Kita perlu berdepan realiti politik, PH terdiri daripada empat parti, namun kita tidak boleh buat sebarang andaian berlaku huru-hara sesama mereka walaupun ada berita mendakwa wujud puak-puak bertentangan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis Tahun Baru Cina MCA Kedah hari ini.

Ka Siong berkata demikian ketika mengulas dakwaan satu gabungan politik baharu akan ditubuhkan dalam masa terdekat untuk membentuk kerajaan baharu dikenali Pakatan Nasional.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam

'Perbuatan Lokman Adam dedah rahsia parti salah, tak bertanggungjawab'

Pakatan tersebut dijangka disertai Ahli Parlimen daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebahagian daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas serta parti-parti komponen gabungan Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya akan terus memantau situasi politik terkini.

Jelasnya, kesemua parti komponen BN sering berbincang dan keputusan akan diumumkan atas landasan BN.

“Tak perlu buang masa, tumpu peranan sebagai wakil rakyat pembangkang.

"Kalau ditakdirkan PH berkecai barulah kita fikir apa senario politik yang akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, MCA tiada masalah bekerjasama dengan Pas di bawah gabungan Muafakat Nasional kerana ia adalah konsep semangat berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang menonjolkan elemen kepelbagaian dan kesederhanaan.