Program e-Tunai galak rakyat guna teknologi: Gobind

Gobind (kanan) kelihatan memberi penerangan mengenai jangkitan koronavirus kepada para peniaga Pasar Besar Seremban pada Program 'Info On Wheel' hari ini. -Foto Bernama
Gobind (kanan) kelihatan memberi penerangan mengenai jangkitan koronavirus kepada para peniaga Pasar Besar Seremban pada Program 'Info On Wheel' hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Ketika sektor perniagaan mula mengaplikasikan perkhidmatan termasuk pembayaran secara dalam talian, program e-Tunai Rakyat yang dilaksanakan kerajaan merupakan satu galakan kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, ini kerana negara sekarang sedang melangkah ke era teknologi khususnya dalam dunia Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Kita semua dapat rasa bagaimana ramai sekarang melaksanakan perniagaan dengan menggunakan perkhidmatan dalam talian. Kalau kita lihat jenis bayaran yang dibuat dalam perniagaan-perniagaan tersebut, maka kita dapat faham betapa pentingnya kita sekarang menggalakkan rakyat bersama-sama menggunakan atau belajar menggunakan teknologi untuk kebaikan kita.

“Jadi inisiatif e-Tunai Rakyat ini adalah satu inisiatif yang cukup baik. Memang ada kriteria-kriteria yang perlu diikuti dan sekiranya seseorang itu adalah termasuk dalam lingkungan kriteria itu, maka beliau dapat membuka akaun dan mendapat bayaran RM30 sebagai insentif untuk inisiatif ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program 'Info On Wheels', program yang memberi penerangan mengenai jangkitan koronavirus, e-Tunai Rakyat dan pengurangan kadar tol 18 peratus di Pasar Besar Seremban di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta dilancarkan pada 14 Januari lepas bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut wang percuma RM30 menerusi tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Mengulas lanjut Gobind berkata, selain itu pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus yang turut diberikan penjelasan dalam program berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada masyarakat.

“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan saya telah pun memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan kita semua tahu bahawa harga yang ditetapkan sekarang akan tetap kekal untuk jangka masa 38 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Selain daripada itu memang tidak ada keperluan untuk kita membayar pampasan yang sangat besar yang kerap kali mencecah berbilion-bilion ringgit setiap tahun. Dalam keadaan ini ada banyak penjimatan kepada pihak kerajaan dan rakyat dan saya rasa ini adalah satu inisiatif yang baik dan ianya diterima baik oleh masyarakat,” katanya.

Jemaah Menteri bermesyuarat pada 15 Januari lepas memutuskan diskaun kadar tol 18 peratus diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE).

Sementara itu menyentuh mengenai program 'Info On Wheels', beliau berkata, ia akan diteruskan bagi memberi penerangan berhubung inisiatif yang diambil oleh kerajaan pusat dan negeri selain untuk menjelaskan mengenai isu-isu berbangkit.

Katanya, sejak 27 Januari lepas, sebanyak 935 program ‘Info on Wheels’ telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

“Ini satu angka yang sangat besar... saya ingin mengucap terima kasih kepada pihak JaPen kerana telah pun melaksanakan tugas dengan baik tetapi saya rasa inisiatif seperti ini perlu dilaksanakan dan diteruskan.

“Kita akan terus keluar ke setiap negeri di seluruh negara untuk kita membawa maklumat terkini kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini adalah satu daripada tugas kita untuk memastikan bahawa maklumat berkenaan khususnya inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat.

“Kita juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan maklumat yang benar, tepat dan sahih dikeluarkan untuk rakyat di luar sana,” katanya.

Terdahulu, Gobind meluangkan masa selama kira-kira sejam bertemu dan memberi penjelasan mengenai langkah-langkah pencegahan jangkitan koronavirus dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan iaitu e-Tunai Rakyat serta pengurangan kadar tol 18 peratus kepada peniaga dan orang ramai. - Bernama