'Melaka United lebih positif tanpa isu tunggakan gaji'

SAFIQ. Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
SAFIQ. Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
A
A
A

PERANCANG tengah Melaka United, Safiq Rahim optimis skuad Hang Tuah akan menikmati permulaan musim Liga Super 2020 yang positif susulan kejayaan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menyelesaikan masalah kewangan pasukan itu baru-baru ini.

Bekas ketua pasukan skuad Harimau Malaya itu berkata, perkembangan tersebut ternyata menyuntik semangat serta memberi motivasi kepada keseluruhan pasukan bagi memperbaiki pencapaian diraih musim lepas.

“Sebelum bermulanya saingan liga, kita (pasukan) mahukan elemen positif itu dirasai semua pihak, dari pemain hingga ke barisan pengurusan. Dengan adanya pengurusan pasukan baharu dan usaha telah dibuat, kita akan cuba lakukan sesuatu tahun ini dan berikan yang terbaik.

“Saya harap semua pemain, pengurusan dan keluarga besar Melaka, dapat bekerjasama menaikkan nama Melaka musim ini dan seterusnya di masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Melaka antara tiga pasukan yang diberi amaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melangsaikan hutang atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan sebelum Jumaat lepas, atau dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, Melaka terlepas daripada hukuman itu selepas FAM mengesahkan MUSA telah menyelesaikan tunggakan tersebut, bersama pihak terlibat.

Dalam pada itu, Safiq berkata, Melaka United kini berada di landasan yang tepat selepas menjalani sesi latihan pra musim di Bandung, Indonesia selama lapan hari.

“Ia (pra musim) sedikit sebanyak memberi kesan yang baik dalam usaha pasukan mencari keserasian antara barisan pemain, dan kita juga dapat kenal pasti ruang yang boleh diperbaiki,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Melaka United yang mengalami prestasi tidak seimbang musim lepas, menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keenam, kandas seawal pusingan kedua di saingan Piala FA, selain mara sehingga ke pusingan suku akhir Piala Malaysia. - Bernama