Pembela tunda serah memorandum kepada Agong

Aminuddin (tengah) mengetuai sidang media pemakluman penyerahan memo ke Istana Negara di Pejabat Muafakat Taman Melawati hari ini.
Aminuddin (tengah) mengetuai sidang media pemakluman penyerahan memo ke Istana Negara di Pejabat Muafakat Taman Melawati hari ini.
A
A
A

WANGSA MAJU - Serahan memorandum mengenai isu penghinaan institusi raja, Melayu dan Islam ke Istana Negara anjuran Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini ditunda ke tarikh baharu iaitu 15 Februari depan.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya berkata, penangguhan tersebut atas nasihat polis disebabkan tarikh itu jatuh pada hari sambutan Thaipusam sebelum memberikan jaminan secara lisan kebenaran himpunan aman itu pada 15 Februari.

"Kami akur dengan arahan itu, namun untuk tidak mengecewakan semangat berhimpun, program pada 8 Februari ini ditukar kepada upacara keagamaan di Masjid Wilayah Persekutuan.

"Dalam masa sama kita harap pihak polis mengotakan janji mereka kerana mengikut sejarah Pembela, kita tidak pernah melanggar undang-undang dengan melakukan kekecohan dalam himpunan yang diadakan sebelum ini," katanya pada sidang media penyerahan memo ke Istana Negara di Pejabat Muafakat Taman Melawati di sini hari ini.

Aminuddin berkata, beliau berharap himpunan aman dengan anggaran penyertaan 10,000 orang itu tidak dihalang oleh pihak tertentu yang cuba menggagalkan kebangkitan rakyat.

"Memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini rentetan peristiwa penghinaan demi penghinaan terhadap Islam, Melayu dan institusi raja yang semakin melampau dan sukar dibendung sehingga menimbulkan kegusaran rakyat.

"Kami bercadang mahu membuat serahan itu pada 1 Februari lalu bersempena penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang genap 72 tahun, namun ditangguhkan kerana jatuh pada Hari Wilayah Persekutuan. Pada 8 Februari pula terpaksa kami beri laluan untuk Thaipusam, jadi pada 15 Februari ini harap tiada halangan lagi," katanya.

Program dijangka bermula jam 8 pagi akan diisi dengan intipati ucapan, perarakan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Istana Negara sebelum serahan memorandum dilakukan.

Artikel Berkaitan: