Jodoh datang selepas 25 tahun
Kalau sudah jodoh, berlari ke mana pun akhirnya bertemu jua. Kadangkala sukar nak percaya tetapi rahsia ALLAH tiada siapa yang tahu dan tiada siapa dapat menolaknya.
Apa yang penting, kena kuat semangat untuk meniti hari-hari mendatang sekiranya kebahagiaan itu belum milik anda.
Merak Jalanan sebenarnya terpanggil dengan kisah sepasang suami isteri ini menerusi media sosial yang baru menyambut ulang tahun pertama pernikahan mereka.
Menariknya, pasangan ini menunggu hingga 25 tahun untuk bertemu semula selepas masing-masing berpisah dengan pasangan terdahulu.
Walaupun kedua-duanya tinggal dalam kawasan sama iaitu di pinggir ibu kota tetapi mereka tidak pernah berhubung atau terserempak di mana-mana sejak tamat pengajian ijazah pertama di sebuah universiti awam.
Mengikut cerita, si A pernah meluahkan hasrat untuk memperisterikan wanita bernama S itu kepada ibu wanita tersebut, tetapi tidak dilayan oleh S kerana mungkin telah memiliki kenalan lain.
S akhirnya memilih lelaki lain sebagai suami. Begitulah juga dengan A memilih wanita lain sebagai penyeri hidup, tetapi jodoh masing-masing tidak panjang dan berakhir dengan penceraian.
Hendak dijadikan cerita, selepas masing-masing kembali solo, A membuat tempahan makanan daripada S yang kebetulan menjalankan perniagaan tersebut. Itulah kali pertama mereka berhubung semula. Dalam tidak sedar rasa cinta mereka telah berputik semula.
Si A akhirnya melamar S buat kali kedua dan kali ini tidak menolak lagi.
Asbabnya, ALLAH memberikan kisah pertemuan menerusi tempahan makanan sahaja, tetapi mereka terpaksa menunggu hingga 25 tahun untuk mendapat kebahagiaan.
Merak Jalanan tumpang gembira dengan kisah pasangan ini, dan percaya ramai di luar sana mempunyai kisah manis sebagai suami isteri.