Surau Al-Qomar anjur aktiviti galak perpaduan

Orang ramai yang hadir teruja dengan kehadiran ‘singa’ yang memberikan buah limau kepada mereka pada majlis berkenaan.
Orang ramai yang hadir teruja dengan kehadiran ‘singa’ yang memberikan buah limau kepada mereka pada majlis berkenaan.
A
A
A

IPOH - Mahu mencipta sedikit kelainan, Surau Al-Qomar mencipta sejarah mengadakan sambutan Tahun Baru Cina buat pertama kali di Taman Pengakalan Utama di sini baru-baru ini.

Pengerusinya, Safaruddin Ari berkata, penganjuran program tersebut dicetuskan bersama ahli jawatankuasa surau yang bersetuju untuk mengadakan sambutan tersebut buat julung kalinya.Beliau berkata, hasrat utama penganjuran program itu adalah untuk mendekatkan masyarakat setempat khususnya bukan Islam dengan surau berkenaan.

“Kita sebenarnya mahu memberitahu masyarakat bukan Islam bahawa umat Islam menghormati budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini. Islam sebenarnya tidak ekstrem dan menggalakkan perpaduan.

“Memang setiap tahun kita adakan majlis sambutan hari raya dan ibadah korban di surau ini. Cuma untuk sambutan Tahun Baru Cina, ini yang pertama kali dan sambutannya alhamdulillah, sangat menggalakkan,” katanya selepas ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Surau Al-Qomar di sini baru-baru ini.

Kanak-kanak turut menerima angpau daripada Safaruddin dan Kah Woh pada majlis berkenaan.
Kanak-kanak turut menerima angpau daripada Safaruddin dan Kah Woh pada majlis berkenaan.

Menurutnya, aktiviti seperti itu akan dijadikan sebagai salah satu aktiviti tahunan untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu katanya, program-program seperti itu juga mampu mengubah persepsi negatif sesetengah masyarakat bukan Islam yang menganggap Islam agama yang ekstrem.

Menurutnya, biarpun masyarakat Islam di kawasan perumahan tersebut hanya sekitar 10 peratus tetapi sokongan masyarakat bukan Islam terhadap aktiviti surau sangat baik.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira masyarakat di kawasan sekitar surau ini saling membantu antara satu sama lain dan begitu prihatin. Sebagai contoh, kita pernah mengadakan misi bantuan kemanusiaan banjir di Kelantan.

“Kita mendapat sumbangan yang banyak untuk misi tersebut daripada penduduk Cina dan India atas nama kemanusiaan tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari, usaha yang dilakukan oleh Surau Al-Qomar harus menjadi contoh kepada surau-surau dan rumah ibadat yang lain.

Katanya, penganjuran program seperti itu tidak harus diambil dari sudut negatif tetapi dilihat dari sudut meraikan kepelbagaian dalam kalangan masyarakat selain mengangkat nilai Islam itu sendiri.

“Program-program menjurus ke arah perpaduan kaum seperti ini perlu diberikan pujian dan sokongan bukan dihalang dengan permainan politik oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Safaruddin (berdiri, dua dari kiri), Abdul Aziz (berdiri, tiga dari kiri) dan Kah Woh (berdiri, tiga dari kanan) bersama-sama masyarakat yang hadir pada majlis tersebut.
Safaruddin (berdiri, dua dari kiri), Abdul Aziz (berdiri, tiga dari kiri) dan Kah Woh (berdiri, tiga dari kanan) bersama-sama masyarakat yang hadir pada majlis tersebut.

Beliau berkata, program-program perpaduan seperti sambutan perayaan pelbagai kaum perlu diteruskan pada masa akan datang dan disokong oleh semua pihak.Pada sambutan tersebut turut diadakan persembahan tarian singa dan kompang selain acara membakar mercun di hadapan pintu masuk surau itu.

Sekitar 300 penduduk pelbagai kaum hadir meraikan sambutan tersebut dengan jamuan turut disediakan.

Menyatupadukan rakyat melalui sambutan perayaan

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh Surau Al-Qomar dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di kawasan itu.

Beliau berkata, sememangnya kawasan itu terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan majlis tersebut berjaya diadakan dengan sokongan masyarakat setempat walaupun diadakan di pekarangan rumah ibadat orang Islam.

Katanya, dengan persembahan tarian singa dan kompang yang diadakan pada majlis tersebut menunjukkan semangat perpaduan yang sebenarnya dalam masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, kemajmukan masyarakat di negara ini merupakan satu kekuatan dan tidak harus dijadikan penghalang untuk kemajuan Malaysia.

Pengerusi Persatuan Peniaga Barangan Terpakai Ipoh, Sathia Kumar pula berkata, semua pihak harus mencontohi usaha menyatupadukan rakyat melalui sambutan perayaan seperti yang dilakukan Surau Al-Qomar.

Kah Woh turut menyampaikan angpau kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.
Kah Woh turut menyampaikan angpau kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.

Menurutnya, sambutan meriah yang diadakan menunjukkan betapa erat persefahaman dan perpaduan dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan tersebut.

“Dengan persefahaman seperti inilah masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu.

“Sebenarnya, inilah yang dimahukan oleh rakyat seluruh negara supaya semua kaum saling menghormati antara satu sama lain dan bersangka baik sesama sendiri,” katanya.