Yusri mampu kembalikan TRW ke Liga Super

KAFA optimis Yusri mampu mengembalikan TRW ke saingan Liga-M 2020.
KAFA optimis Yusri mampu mengembalikan TRW ke saingan Liga-M 2020.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) yakin ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah mampu mengembalikan kecemerlangan pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

Presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada perancangan yang dilakukan oleh Yusri pada sesi persiapan TRW ketika ini untuk menghadapi saingan Liga-M terutamanya Liga Premier yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini.

"Saya lihat perancangan yang diatur oleh dia (Yusri) tahun ini lebih teratur dan kemas berbanding perancangan untuk persiapan pada musim lepas.

"Yusri telah mengaturkan perlawanan persahabatan yang menarik bagi menguji barisan pemain pasukan Kelantan, sama ada mengadakan perlawanan menentang pasukan daripada Liga Super, Liga Premier dan pasukan luar negara dengan corak latihan yang diterapkan kepada pemain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada pertengahan musim lepas, Yusri menjadi penyelamat pasukan Kelantan daripada disingkirkan ke Liga M3 apabila pasukan itu menghadapi kemelut prestasi yang membawa Kelantan berada pada kedudukan kedua tercorot Liga Premier.

Yusri dibawa masuk menjadi ketua jurulatih selepas ketua jurulatih sebelum itu Marko Kraljevic ditamatkan kontrak oleh KAFA berikutan tidak membawa sesuatu perubahan kepada pasukan Kelantan.

Wan Rahim berkata, Yusri juga sangat rapat dengan barisan pemain muda berikutan jurulatih itu telah lama bersama pasukan Kelantan ketika menjadi penolong jurulatih pada pada tahun 2017 sehingga 2018 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2019.

"Saya yakin dengan apa yang dimiliki oleh dia dengan sokongan pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain sendiri bagi mencapai sasaran kami untuk kembali beraksi ke saingan Liga Super musim depan.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga kami yakin dengan kemampuan pemain-pemain muda tempatan yang dikekalkan oleh Yusri musim lepas untuk membawa cabaran pasukan Kelantan musim ini bagi memberikan saingan sengit kepada pasukan lain," katanya.

Sementara itu, Wan Rahim berkata, pihaknya akan melakukan perasmian jersi rasmi pasukan Kelantan pada 22 Februari di Stadium Sultan Muhammad lV.

"Pada hari itu, pasukan Kelantan turut akan diuji dengan pasukan daripada Liga Super iaitu Pahang yang akan menjadi perlawanan persahabatan terakhir sesi persiapan pasukan," katanya. - Bernama