Kakitangan JPJ tak mengaku terima rasuah

Sharin Safami didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas sembilan pertuduhan menerima suapan daripada tiga individu antara Jun hingga Ogos tahun lalu.
Sharin Safami didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas sembilan pertuduhan menerima suapan daripada tiga individu antara Jun hingga Ogos tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN- Seorang Pembantu Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas sembilan pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM7,700 daripada tiga individu, antara Jun hingga Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Sharin Safami Zainudin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di baca di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Berdasarkan kertas pertuduhan Sharin Safami didakwa menerima suapan daripada Irwan Kamarol Hisham Mohammad Shaharani berjumlah RM5,200 dan RM500 daripada Khor Yoke Kia serta RM2,000 lagi diberikan oleh Loh Meng Chong.

Suapan itu dorongan kepada tertuduh yang bekerja sebagai pembantu Penguatkuasaan Timbang Paya Rambutan di Gambang, Pahang untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori lebih muatan.

Kesemua sembilan pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Maybank cawangan Taman Tas, di sini antara 11 Jun sehingga 14 Ogos 2019.

Sharin Safami didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh di hukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya SPRM, Siti Sarah Zainal Abidin menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam Datuk Zaidi Zainal mewakili tertuduh bersetuju dengan ikat jamin yang ditawarkan Pendakwaraya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 9 Mac depan.