TM dijangka kembali warnai Liga-M

MFL
MFL
A
A
A

SELEPAS 11 bulan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menamatkan kontrak bersama Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat telekomunikasi itu kini kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut satu jemputan daripada sebuah firma perhubungan awam dilantik TM yang diedarkan kepada media hari ini, TM menerusi anak syarikatnya TM Multimedia dan MFL dijangka menandatangani satu perjanjian baharu sebagai penaja rasmi pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen TM di sini.

“Kami dengan sukacitanya menjemput anda untuk menyaksikan majlis menandatangani antara Telekom Malaysia, menerusi anak syarikatnya TM Multimedia dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M).

“Sertai kami untuk meraikan pembaharuan kerjasama kami dengan MFL dan untuk memelihara semangat perpaduan dalam menyokong senario bola sepak tempatan dan sukan Malaysia,” menurut jemputan itu.

Sebelum ini, TM menerusi jenamanya Unifi telah menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun berjumlah sekitar RM480 juta dengan MFL pada Januari 2018 untuk menjadi penaja Liga-M.

Namun pada Mac 2019, MFL dan TM menamatkan kontrak itu selepas kedua-dua entiti gagal mencapai persetujuan susulan perbincangan meneruskan perjanjian kerjasama penajaan tidak berjalan lancar.

Pada Oktober lepas, MFL menarik balik tuntutan saman terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga-M. - Bernama

Artikel Berkaitan: