Osman Bakar dilantik Rektor UIAM ketujuh
PUTRAJAYA - Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ketujuh, untuk tempoh dua tahun mulai 23 September 2024 hingga 22 September 2026.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, Osman adalah seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air.
Beliau juga memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai antara 500 orang lslam paling berpengaruh di dunia pada 2009.
"Kementerian yakin dengan pelantikan ini, Prof Emeritus Dr Osman akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut kenyataan itu di sini.
Osman, penyandang Kursi Al-Ghazali di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (1STAC), UIAM merupakan pemegang ljazah Sarjana Muda dan ljazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom dan ljazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah lslam dari University of Temple, Amerika Syarikat.
KPT juga mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini. - Bernama