X

Kindly register in order to view this article
!

Saham AirAsia terus merosot berikutan siasatan rasuah, koronavirus

A
A

SAHAM AirAsia Group Bhd (AAGB) dan AirAsia X Bhd terus merosot dalam dagangan awal hari ini berikutan laporan mengenai dakwaan rasuah berhubung pembelian pesawat Airbus oleh AirAsia.

Sehingga jam 10 pagi, AirAsia Group merosot enam sen atau 4.69 peratus kepada RM1.22 dengan 24.07 juta saham bertukar tangan manakala AirAsia X susut setengah sen atau 4.17 peratus kepada 12 sen dengan 7.89 juta saham diniagakan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, AAGB berkata, Pengerusi Eksekutif, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan itu berkuat kuasa serta-merta berikutan siasatan tersebut.

“Atas cadangan jawatankuasa, Tharumalingam Kanagalingam dilantik sebagai pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif AAGB,” katanya.

Kamarudin dan Fernandes akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah bukan bebas bukan eksekutif AAGB.

Dalam kenyataan berasingan semalam, kedua-dua mereka menafikan dakwaan salah laku sebagai pengarah di AirAsia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kamarudin, Tony Fernandes lepas jawatan eksekutif dalam AirAsia

Mereka berkata, Perjanjian Pendakwaan Tertunda Airbus dan kandungannya dicapai tanpa sebarang rujukan kepada mereka.

“Tiada sebarang penjelasan yang diminta daripada kami. Ini jelas melanggar prinsip undang-undang asas keadilan. Kami tidak akan menjejaskan syarikat yang kami bina sepanjang hayat kami sehingga ia menjadi syarikat berstatus global.

“Oleh itu, untuk memudahkan siasatan penuh dan bebas oleh AirAsia, kami melepaskan jawatan eksekutif kami berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh dua bulan, atau tempoh lain yang mungkin difikirkan sesuai oleh syarikat,” kata mereka.

Bagaimanapun, Kamarudin dan Fernandes berkata, mereka akan terus membantu AirAsia sebagai penasihat apabila diperlukan dan mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak berkuasa.

“Kami akan memberikan kerjasama kami yang sepenuhnya,” kata mereka.

Laporan berita mengenai dakwaan rasuah melibatkan eksekutif AirAsia turut melibatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM siasat dakwaan rasuah libatkan Airbus, dua eksekutif AirAsia

Mengenai perkembangan lain, MIDF Research menurunkan penarafan AAGB kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ susulan lebih banyak andaian kapasiti yang konservatif, berikutan wabak koronavirus selain kebimbangan mengenai siasatan rasuah yang didakwa itu.

Kapasiti AAGB ke China kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan kapasiti.

AAGB baru-baru ini mula melindung nilai keperluan bahan apinya berikutan penurunan mendadak harga minyak mentah Brent di bawah AS$60 setong.

Firma penyelidikan itu menyemak semula harga sasaran kepada RM1.20 daripada RM1.86 sesaham. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus