ACL 2: Selangor 'curi' satu mata dari Muangthong
SELANGOR FC boleh menarik nafas lega apabila membawa pulang satu mata dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dari negara jiran, Thailand sebentar tadi.
Pertembungan Kumpulan H itu menyaksikan skuad Gergasi Merah mengikat Muangthong United FC 1-1 dalam saingan di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Dalam aksi itu, Ronnie Fernandez membuka tirai jaringan buat Selangor FC pada minit ke-48, manakala Purachet Thodsanit menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah menerusi gol penyamaan enam minit kemudian.
Memulakan babak pertama kedua-dua pasukan merencana dengan baik corak permainan, namun buntu untuk memecah benteng pertahanan.
Peluang terbaik skuad Gergasi Merah hadir pada minit ke-12 menerusi Ali Olwan, namun aksi satu lawan satu memihak penjaga gol The Twin Qilins, Kittipong Phoothawchuek yang menafikan percubaan penyerang import dari Jordan itu.
Di sebalik serangan tersebut, Muangthong enggan duduk diam segera menyusun gerak dan berpeluang di depan menerusi Poramet Arjvirai, namun barisan belakang Selangor ampuh bertahan.
Kakana Khamyok kemudian berpeluang meledak buat pasukan tuan rumah, mujur penjaga gol skuad Gergasi Merah, Azim Al Amin pantas merebahkan badan untuk menafikan percubaan pemain berusia 20 tahun itu.
Keluar dari bilik persalinan jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil membawa masuk Yohandry Orozco bagi menggantikan Quentin Cheng.
Ternyata selepas tiga minit kemasukan pemain import dari Colombia itu membuahkan hasil apabila bantuan jaringannya membantu Fernandez meledak gol pertama buat skuad Gergasi Merah.
Muangthong tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Purachet memanfaat keadaan kelam kabut di depan gawang Selangor FC untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-54.
Kedua-dua pasukan kemudian mengatur semula strategi untuk memburu jaringan tambahan, namun keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat.