Keluarga 'Abang Bas' mahu ambil tindakan undang-undang - Ahmad Zaharil
MUAR - Keluarga 'Abang Bas' bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa menimbulkan fitnah terhadap lelaki itu.
Peguam secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, tindakan itu diambil susulan kecaman yang diterima pelbagai pihak sepanjang ditahan oleh polis selepas dituduh di mahkamah.
"Untuk mensabitkannya, kita jangan melihat daripada satu perspektif tetapi lihatlah keseluruhan.
"Adalah tidak adil bila anda tidak mengenalinya (Abang Bas) tetapi membuat pelbagai andaian menerusi media sosial," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharil berkata, sekiranya tidak mahu tindakan undang-undang diambil, pihak terlibat masih berkesempatan membuat permohonan maaf kepada keluarga 'Abang Bas'.
"Semuanya bergantung kepada subjek ahli keluarganya, sebab selama ini, pelbagai kecaman dibuat di media sosial terhadap 'Abang Bas'.
"Sudah tentu kita sudah mengenal pasti mereka... ramai, keluarga mengarahkan mereka (warganet) disaman. Kenapa tidak (saman selebriti)?, mereka tidak ada peluang untuk membela diri ketika itu.
"Sebagai peguam saya nasihatkan pecahlah tabung buluh, tabung ayam, kira siap-siap, jadi senang nak kira nanti. Selama ditahan, dia dikecam sehebat-hebatnya tanpa belas ihsan," katanya.
Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau 'crush' dan 'kesayangan'.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.