7 pasangan pengantin di DUN Mahkota bersanding serentak

Tarikh 16 September menjadi momen terindah buat tujuh pasangan pengantin di DUN Mahkota.
Tarikh 16 September menjadi momen terindah buat tujuh pasangan pengantin di DUN Mahkota.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Tanggal 16 September yang merupakan Hari Malaysia menjadi detik bersejarah bagi tujuh pasangan pengantin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota apabila diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai.

Difahamkan pasangan muda yang menyertai majlis tersebut hanya membayar mas kahwin dan menyewa baju pengantin, manakala jamuan dan pelamin disediakan Yayasan Prihatin Kluang.

Tujuh pasangan pengantin diarak ke Dewan Sharifah Azizah dengan paluan kompang.
Tujuh pasangan pengantin diarak ke Dewan Sharifah Azizah dengan paluan kompang.

Pasangan pengantin, Mohamad Amirul Md Din, 25, dan Nor Asnani Ishak, 26, bersyukur majlis persandingan beramai-ramai berjalan lancar.

Mohamad Amirul yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, majlis pernikahan telah diadakan di Masjid Dato Ahmad Kampung Abdul Rahman Yassin pada, Jumaat lalu.

"Saya dan isteri memang gembira sebab dapat jimat perbelanjaan kahwin, kerana seperti mana yang kita tahu zaman sekarang harga semua naik.

"Saya seronok dapat kahwin serentak dengan pasangan yang lain, lebih bermakna lagi tarikhnya cukup istimewa pada 16 September," katanya ketika di Dewan Sharifah Azizah di Taman Ilham di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Paluan kompang dari kumpulan anak muda Taman Ilham.
Paluan kompang dari kumpulan anak muda Taman Ilham.

Pengurus Eksekutif Yayasan Prihatin Kluang, Zainani Jamaluddin berkata, program kahwin beramai-ramai yang julung kali diadakan di DUN Mahkota diasaskan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

"Kami amat gembira dan bersyukur dapat melaksanakan majlis ini yang berjalan lancar dengan kehadiran keluarga pengantin dan penduduk setempat.

"Ia juga dapat membantu golongan anak muda yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga," katanya.

Sementara itu, Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah akan meneruskan majlis perkahwinan beramai-ramai bagi membantu golongan kurang berkemampuan sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.

Menurut Syed Hussien, majlis perkahwinan beramai-ramai pada 16 September yang menampilkan tujuh pasangan pengantin itu menjadi titik permulaan untuk perancangan majlis seumpamanya pada masa depan.

"Saya sangat bersetuju, majlis seumpama ini diadakan bagi meringankan beban kos majlis perkahwinan untuk anak muda ketika segala perbelanjaan meningkat.

"Sudah tentu saya mahu terus membantu golongan kurang berkemampuan dan B40 dengan program seumpama ini.

"Bagaimanapun ia memerlukan perancangan teliti agar majlis berjalan lancar dan mencapai tujuannya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!