PRK Mahkota: Perang bendera suram, pengundi selesa kempen skala kecil
KLUANG - Perang bendera dan poster bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota masih lagi suram walaupun waktu berkempen sudah memasuki hari ketiga, selepas tempoh penamaan calon tamat pada Sabtu lepas.
Tinjauan di beberapa lokasi sekitar DUN Mahkota hari ini mendapati perang bendera antara parti bertanding masih suam-suam kuku, walaupun terdapat bendera dinaikkan di beberapa lokasi terutamanya di pusat daerah mengundi (PDM).
Walaupun kelihatan kurang meriah jika dibandingkan dengan beberapa PRK sebelum ini, penduduk di sekitar DUN Mahkota berkata mereka lebih selesa dengan pendekatan kempen skala kecil berbanding kempen secara besar-besaran.
Pesara kerajaan, Mohd Ali Mansor, 62, berkata, kempen skala kecil bersama komuniti setempat lebih bermakna buat penduduk berbanding ceramah mega kerana ia memberi ruang kepada pengundi untuk lebih mengenali calon.
"Lebih baik berkempen secara kecil tetapi padat pengisiannya. Kalau dilaksanakan ceramah mega sekalipun, kosnya tinggi dan ada masanya yang hadir lebih ramai penyokong luar. Kami tidak berpeluang menyuarakan isi hati terus kepada calon, jadi lebih mesra begini (skala kecil)," katanya semasa ditemui di Pasar Tani Kampung Melayu di sini hari ini.
Turut bersetuju ialah penjawat awam, Alif Abdul Aziz, 34, yang berpandangan kempen berskala kecil lebih aman dan kurang menganggu kehidupan seharian penduduk seperti kesesakan trafik atau bunyi bising, mengambil kira kempen juga berlangsung pada hari bekerja.
"Tambahan pula sekarang sudah banyak platform media sosial. Pengundi boleh mengikuti akaun calon jika mahu mengikuti perkembangan kempen di mana-mana dalam situasi lebih selesa,” katanya.
Peniaga, Tiam Hock, 43, bagaimanapun berbeza pandangan kerana berharap perang bendera atau poster lebih meriah bagi menimbulkan suasana pilihan raya dan berharap situasi itu berubah apabila masuk minggu kedua berkempen.
"Ada masanya parti yang bertanding akan menonjolkan kreativiti semasa berkempen dan ini menarik untuk diperhatikan. Ketiadaan bendera, poster menyebabkan suasana PRK ini tidak begitu dirasakan, sedangkan ia hanya berlangsung untuk tempoh dua minggu," katanya.
Setakat ini, dua calon yan bertanding iaitu calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dilihat memilih pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka sama ada berkunjung dari rumah ke rumah atau hadir ke kawasan tumpuan.
PN sebagai contoh turut menggunakan platform ceramah pada sebelah malam, namun ia juga berlangsung dalam skala kecil iaitu ceramah kelompok, selain kedua-dua calon juga memanfaatkan media sosial bagi menambat hati pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Mahkota diadakan pada 28 Sept ini, manakala 24 Sept adalah hari undi awal.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini. - Bernama