Sabah, TFC kongsi mata di Stadium Likas

Penyerang Sabah FC, Saddil Ramdani (tengah) cuba melepasi pemain pertahanan Terengganu FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas hari ini. Foto Bernama
Penyerang Sabah FC, Saddil Ramdani (tengah) cuba melepasi pemain pertahanan Terengganu FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS tewas pada pertemuan terakhir, Sabah FC berhasil mengikat Terengganu FC (TFC) 1-1 di laman sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Kedudukan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee naik satu anak tangga ke tangga keempat dengan 14 mata di bawah Terengganu di kedudukan ketiga carta Liga Super dengan perbezaan dua mata masing-masing selepas sembilan perlawanan musim ini.

Babak pertama menyaksikan pemain import baharu Joao Pedro Boeira Duarte hanya memerlukan 10 minit untuk membuka akaun jaringan Sabah setelah menyudahkan hantaran lintang kapten pasukan Park Taesu.

Pada minit ke-29, pemain import Terengganu Ismaheel Akinade membuat percubaan kencang seakan-akan melintas garisan gol sebelum ditepis penjaga gol Damien Lim namun jaringan itu dinafikan pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli selepas membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Ismaheel kemudian mengubati kekecewaan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dengan ledakan kencang di luar kotak penalti setelah menerima hantaran Muhammad Alif Zakaria untuk menyamakan kedudukan di masa kecederaan dan keputusan kekal 1-1 hingga tamat perlawanan.

Sementara itu aksi di Stadium Temerloh, Pahang, menyaksikan Sri Pahang FC membelasah PDRM FC 5-1.

Skuad Tok Gajah mula membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 melalui Kpah Sherman sebelum Stefano Brundo menggandakan kedudukan Sri Pahang pada minit ke-25.

Sri Pahang di bawah kendalian Fandi Ahmad terus melebarkan sayap apabila Manuel Hidalgo meledak jaringan ketiga pada minit ke-26 disusuli gol keempat hasil penyudah Stefano Burndo enam minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup dengan itu, skuad Tok Gajah terus menambah duka pasukan Sang Saka Biru apabila Kpah Sherman melengkapkan jaringan kelima buat pada minit ke-46.

PDRM di bawah bimbingan P. Maniam bagaimanapun berjaya membuahkan satu jaringan sagu hati pada minit ke-72 hasil ledakan Burndo Suzuki.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang naik empat anak tangga ke kedudukan ketujuh dengan 10 mata, hanya perbezaan satu mata di bawah PDRM selepas masing-masing mengharungi sembilan perlawanan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!