FAM: Melaka dan Kelantan lepas, PDRM dipotong tiga mata

STUART
STUART
A
A
A

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bakal memulakan kempen Liga Super 2020 dengan pemotongan tiga mata selepas skuad The Cops itu gagal melangsaikan tunggakan gaji dan mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai pasukan berkenaan.

Melaka United dan Kelantan pula boleh menghela nafas lega terlepas hukuman pemotongan mata selepas kedua-dua pasukan itu berjaya melangsaikan tunggakan gaji dan mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai masing-masing.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, pemotongan tiga mata The Cops akan bermula sebaik sahaja bermulanya saingan Liga Super 2020 pada 28 Februari depan.

"FAM akan berkomunikasi dengan Liga Bola Sepak (MFL) untuk badan penganjur Liga Super itu melaksanakan arahan pemotongan tiga mata tersebut.

"Selain itu, seperti mana yang telah pun dinyatakan dalam surat yang sama bertarikh 15 Januari lalu itu, PDRM akan diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020.

"Jika masih gagal, PDRM akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam lagi mata. Justeru FAM berharap PDRM akan mengambil serius untuk berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, FAM memuji usaha dan kesungguhan yang telah pun dilakukan oleh Kelantan dan Melaka United dalam tempoh dua minggu diberikan untuk menyelesaikan tunggakan gaji atau pun persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

"Sebagai contoh, Melaka pada awalnya mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM2.7 juta tetapi dalam tempoh berkenaan berjaya membayar sebanyak RM2.1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Artikel Berkaitan:

"Kelantan pula, daripada jumlah awal tunggakan gaji berjumlah RM1.6 juta, mereka telah berjaya membayar sebanyak RM1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

"FAM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pasukan-pasukan ini mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai," kata Stuart.

Bagaimanapun tambah Stuart, situasi ini tidak termasuk kes-kes yang telah dilaporkan dan akan diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mana amaun penuh bayaran dan hukuman akan ditetapkan oleh FIFA.

"FIFA juga berhak untuk menetapkan sebarang hukuman andai pasukan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan mengikut jumlah dan tempoh yang ditetapkan.

"Kelantan turut mempunyai tiga kes tunggakan gaji tetapi ia dalam proses untuk dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan keputusan kes berkenaan akan ditentukan oleh jawatankuasa tersebut. Oleh itu, ia tidak termasuk di dalam ketetapan yang dibuat oleh FAM ini," jelas Stuart lagi.

Dalam perkembangan sama, Stuart berkata, FAM akan beralih pula kepada fasa kedua selepas selesainya fasa pertama masalah tunggakan membabitkan gaji pemain dan pegawai pasukan utama iaitu Liga Super dan Liga Premier ini.

Jelas Stuart, fasa kedua yang dimaksudkan ialah masalah tunggakan membabitkan pasukan-pasukan dengan agensi-agensi kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

"Ia bukan saja membabitkan tiga pasukan berkenaan, malah beberapa lagi pasukan Liga Super dan Liga Premier lain yang tidak mempunyai masalah tunggakan gaji dengan pemain, tetapi masih mempunyai tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO.

"Ini merupakan usaha FAM bagi memastikan pasukan-pasukan yang terbabit membuat perjanjian bertulis untuk persetujuan kaedah dan tempoh penyelesaian tunggakan bersama agensi-agensi kerajaan tersebut.

"FAM akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan tersebut untuk memastikan mana-mana pasukan yang belum membuat perjanjian persetujuan penyelesaian itu dapat berbuat demikian dan pada masa sama memantau supaya semua pasukan yang terlibat melakukan bayaran mengikut penjadualan yang telah ditetapkan," jelas Stuart lagi.

Selain itu tambah Stuart, fasa kedua ini juga akan memberi perhatian kepada tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

"FAM bukan terlepas pandang perkara ini tetapi kami perlu menyelesaikan semua masalah mengikut peringkat dan keutamaan terlebih dahulu.

"FAM terpaksa mengambil langkah berperingkat menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan Liga Super dan Liga Premier sebelum memfokuskan kepada fasa kedua membabitkan tunggakan dengan agensi-agensi kerajaan serta pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

"FAM akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini berhubung pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji dengan pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia masing-masing," katanya.