Sambutan Hari Malaysia peringkat Roblox dapat 30,000 tontonan
SHAH ALAM - Sambutan Hari Malaysia Sinar Harian Peringkat Roblox berjaya menarik 30,000 tontonan sepanjang siaran langsung menerusi empat platform YouTube, TikTok, Facebook dan Roblox pada Jumaat.
Konsep kali pertama sambutan menggunakan platform sistem pembangunan permainan dalam talian itu diwujudkan berjaya menarik penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah apabila ia mendapatkan sambutan yang amat menggalakkan daripada pemain permainan maya itu.
Program sambutan selama kira-kira sejam berlatarbelakangkan Putrajaya itu mendapat perhatian apabila pentas utama bertemakan Jalur Gemilang dibina dengan sebegitu kreatif sesuai dengan tema Hari Malaysia.
Pencipta kandungan yang merupakan hos program, Afiq Mat Zaid atau lebih dikenali Cikgu Zyd mengakui mengambil masa lebih seminggu untuk menyiapkan pentas berkenaan.
Menurutnya, pengguna permainan berkenaan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah remaja serta orang dewasa juga sudah mula melayarinya menyebabkan pentas itu dibina dengan teliti supaya kehangatan sambutan dapat dirasai.
Gandingannya Cikgu Zyd bersama wartawan Sinar Harian, Farah Wahidah Ab Aziz dilihat berjaya menghidupkan suasana pada sambutan berkenaan.
Malah acara yang paling mencuri tumpuan apabila peserta menyanyikan beberapa lagu patriotik diiringi petikan gitar kapok.
Antara lagu yang dinyanyikan dalam persembahan itu adalah Saya Anak Malaysia, Gemuruh Jiwa dan Warisan,
Selain itu, penonton juga terpegun dengan suasana di dalam dewan yang menempatkan pameran 14 buah negeri di Malaysia.
Setiap negeri mempamerkan mercu tanda dan peralatan yang sinonim yang menjadi kebanggaan anak jatinya.
Program turut memperlihatkan bangunan Kumpulan Karangkraf yang dipaparkan secara digital dengan acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan disusuli dengan bacaan doa.