Sejarah Tanah Melayu, sirah pengisian Malaysia #QuranHour
MALAYSIA #QuranHour bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara berlangsung dengan penuh jayanya di lokasi perdana iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos lalu.
Pengisian yang sangat berhikmah, ringkas dan padat dengan kupasan surah al-Hujurat, surah al-Jumu’ah dan hadis serta pedoman ulama begitu membekas di hati.
Sebelum kupasan dan perbincangan tersebut, pendakwah Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud memukau kira-kira 1,500 hadirin pada pagi Jumaat itu dengan prolog Erti Merdeka.
Beliau yang juga pentadabbur dalam program itu mengungkapkan, Islam mula bertapak dan berakar umbi di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun ke-14 lagi.
“Apabila Islamnya Raja Melaka pada 1409, agama itu semakin mekar dan terus gah di persada.
“Ketika pemerintahan Raja Muzaffar Shah, Islam diangkat sebagai agama rasmi di negeri Melaka,” jelasnya.
Bagaimanapun, Kesultanan Melayu Melaka akhirnya rebah dijajah oleh armada Portugis yang dipimpin Alfonso de Albuquerque pada 10 Ogos 1511.
“Selama 400 tahun negara dijajah bersilih ganti oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan sebagainya.
“Harta dan hasil mahsul negara mereka jarah dan punggah serta bawanya ke negara masing-masing dan akhirnya rakyat kita miskin serta terhina di bumi sendiri,” ceritanya sedih.
Pejuang kemerdekaan tidak berdiam diri
Persoalannya, apakah nenek moyang kita tidur pada ketika itu? Apakah nenek moyang kita tidak berjuang menentang penjajah?
“Jawapannya tidak sama sekali. Nama-nama seperti Dol Said, Tok Janggut dan sebagainya, bahkan ratusan serta ribuan pahlawan dan perajurit yang tidak bernama berjuang berhabis-habisan menggadai nyawa serta bermandi darah.
“Mereka lakukan demi mencapai sebuah kemerdekaan walaupun mereka tahu nikmatnya mungkin tidak dicapai ketika hayat masih ada,” hurainya.
Tambahnya, hari bersilih hari, bulan bersilih bulan dan tahun juga berganti, akhirnya dengan berkat perjuangan darah kesatria yang bersifat pejuang, kalimah ‘Merdeka’ dilaungkan pada 31 Ogos 1957.
Laungan merdeka sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka itu disulami dan diselangi dengan laungan azan serta bacaan doa yang diungkapkan Mufti Negeri Sembilan yang pertama, Sheikh Ahmad Mohd Said, menurutnya.
Beliau kemudiannya memetik kata-kata seorang pujangga Islam, Malik bin Nabi yang menjelaskan bahawa kemerdekaan terbahagi kepada dua iaitu:
1 - Kemerdekaan pertiwi atau tanah air.
2 - Kemerdekaan fikir atau intelektual.
Menurut Ustaz Mohamad Zarifi, nikmat kemerdekaan yang telah dicapai selama 67 tahun ini sepatutnya diisi dengan empat perkara:
1 - Iman
2 - Takwa
3 - Ilmu
4 - Akhlak
Dialog Rib'i bin Amir dengan Panglima Tentera Parsi
Sebelum mengundurkan diri, beliau memetik kisah peperangan al-Qadisiyyah yang berlaku pada tahun ke-14 Hijrah.
Rib’i bin Amir dalam peperangan tersebut telah berdialog dengan Panglima Tentera Parsi iaitu Rustum.
Setelah ditanya kepada Rib’i bin Amir perihal kedatangannya, beliau dengan tegas dan integriti menyatakan:
1 - Kami dibangkitkan oleh ALLAH SWT untuk mengeluarkan sesiapa sahaja dari sistem perhambaan sesama manusia, kepada menjadi hamba kepada-NYA.
2 - Kami dibangkitkan oleh ALLAH untuk memerdekakan kalian daripada kezaliman kepada keadilan.
3 - Kami akan mengeluarkan kalian daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.
“Wahai generasi al-falah (kejayaan), bangkitlah kalian. Cukup-cukuplah kita berantakan dan bergaduh sesama sendiri.
“Ia sangat tidak menguntungkan kita. Marilah kita hidup dalam saf yang sama dengan semangat syura dan mahabbah serta ukhuwah.
“Kita membawa budi dan bakti berteraskan suluhan wahyu Ilahi dan sunnah Nabi Muhammad SAW,” nasihat Ustaz Mohamad Zarifi.
Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara perlu dihayati atas dasar IMAN, menurut Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
I - Iman
Keimanan kepada ALLAH SWT dan integriti perlu ditingkatkan demi memastikan kita melaksanakan apa yang DIA perintahkan dalam al-Quran dan menjunjung sunnah Rasulullah SAW.
M - Mahabbah (kasih sayang)
Kasih sayang dan kecintaan dalam persaudaraan orang beriman sama seperti ikatan adik-beradik, tidak ada kebencian dan bersikap tolong-menolong.
A - Aman
Keamanan yang menjadi tanggungjawab kita semua dalam sebuah negara yang merdeka. Bukan sekadar aman dari musuh ketenteraan, malah musuh-musuh dalam media sosial yang menyebarkan racun dan menjadi penyebab kepada perpecahan dan pergaduhan.
N- Negara berbilang bangsa, negara majmuk
Bersatu atas perpaduan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW yang menyatukan semua umat atas semangat kenegaraan dan patriotik bersandarkan kepada tolong-menolong atas dasar kebaikan dan ketakwaan serta menolak dosa dan permusuhan.