Berkahwin dengan tunangan orang lain

LARANGAN meminang tunangan orang lain tidak memberi kesan kepada kesalahan akad nikah, namun sebaiknya elakkan diri daripada memilih wanita yang telah dipinang oleh lelaki lain.
LARANGAN meminang tunangan orang lain tidak memberi kesan kepada kesalahan akad nikah, namun sebaiknya elakkan diri daripada memilih wanita yang telah dipinang oleh lelaki lain.
A
A
A

BERTUNANG ibarat mengikat janji antara seorang lelaki dan wanita untuk menjadi pasangan suami isteri.

Ia juga menjadi tanda bahawa seseorang wanita itu adalah milik orang.

Begitupun, dari segi hubungan pasangan itu, ia tidak halal seperti pasangan suami isteri yang sudah akad nikah.

Sebaliknya, hubungan mereka sama sahaja dengan lelaki dan wanita bukan mahram yang lain sehinggalah saat mereka diijab kabulkan.

Namun, bagaimana pula jika wanita yang bertunang tadi dipinang oleh lelaki lain, lalu mereka terus berkahwin. Apakah hukumnya berbuat demikian?

Dalam hal itu, perlu difahami bahawa hukum meminang pinangan orang lain adalah haram dan berdosa kerana ia bersangkutan dengan larangan daripada Rasulullah SAW.

Pun begitu, jika telah berlakunya akad nikah, para ulama berselisih pendapat tentang hukumnya.

Pandangan pertama menyatatakan, hukumnya adalah sah mengikut jumhur ulama yang terdiri daripada Mazhab Hanafi, Syafie, Hanbali dan satu riwayat daripada Maliki.

Artikel Berkaitan:

Mereka mengatakan bahawa akad pernikahan tersebut sah dan diterima selagi menuruti rukun dan syarat-syarat pernikahan.

Bagi pandangan kedua yang dinukilkan oleh salah satu pandangan dalam Mazhab Maliki, hukumnya adalah tidak sah dan pernikahan itu wajib dibatalkan sama ada kedua-duanya telah melakukan hubungan suami isteri atau tidak.

Satu lagi pandangan pula menyatakan, perkahwinan itu perlu dibatalkan jika belum berlaku hubungan suami isteri sepertimana pandangan termasyhur di sisi Mazhab Maliki.

Bagaimanapun, jika sudah berlaku hubungan suami isteri itu, maka perkahwinan itu tidak perlu dibatalkan.

Kesimpulannya, berpeganglah kepada pandangan jumhur ulama yang merupakan pandangan terkuat dalam perkara itu.

Ketahuilah bahawa larangan meminang tunangan orang lain sebenarnya tidak memberi kesan kepada kesalahan akad nikah.

Ini kerana, bertunang merupakan perkara yang didahulukan sebelum akad nikah.

Meskipun begitu, ikatan pertunangan bukanlah syarat dan rukun akad nikah.

Oleh itu, akad nikah tetap sah walaupun pasangan berkenaan tidak melalui proses pertunangan.

Pun demikian, janganlah kita tergesa-gesa meminang tunangan orang lain sekali gus mengetepikan perasaan orang lain.

(Sumber: Portal kemusykilan agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)