Pemuda OKU gigih jual air naik motosikal
SEREMBAN - Kekurangan diri bukan menjadi penghalang buat seorang remaja orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy untuk mencari rezeki dengan menjual air menggunakan motosikal roda tiga.
Boleh dikatakan setiap hari, Aniq Fitri Ros Efendi, 19, akan menunggang motosikalnya di sekitar Senawang di sini untuk berniaga dari satu tempat ke satu tempat.
Meskipun mengakui ada yang mengambil kesempatan terhadap kekurangan dirinya, namun itu tidak menjadi penghalang untuknya terus mencari rezeki dan belajar berdikari.
Menurut anak tunggal itu, dia mahu membuktikan kepada orang ramai yang OKU sepertinya juga mampu berjaya seperti insan normal lain.
"Bukan orang normal saja boleh berjaya. Kita OKU ini pun boleh berjaya dengan cara kita sendiri.
"Kadang-kadang orang fikir OKU ini buat apa? Duduk rumah, makan dan tidur saja. Saya tak nak orang fikir saya macam itu dan sebab itulah saya keluar bekerja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Senawang pada Rabu.
Menurutnya, dia memilih untuk berniaga air botol kerana itu saja peluang pekerjaan yang diterimanya selepas mencuba nasib mencari kerja di beberapa tempat di daerah ini.
Katanya, peluang itu tidak akan disia-siakan dan setiap hari kira-kira 35 hingga 40 botol air minuman pelbagai perisa yang terjual.
"Sudah empat bulan saya bekerja dan Alhamdulillah mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.
"Kalau duit simpanan saya dah cukup, saya target nak beli jam tangan jenama G-Shock, iPhone dan kereta," katanya.
Bagaimanapun dengan keadaan fizikalnya, Aniq Fitri mengakui yang dia mudah penat, tetapi seronok untuk bekerja kerana dapat berjalan-jalan dan berjumpa ramai orang.
Melihat kegigihan anak muda terbabit, tiada siapa menyangka yang dia sebenarnya pernah bergelut dengan emosi dek kerana desakan hatinya yang mahu diterima sama seperti insan normal lain.
Menceritakan mengenai itu bapanya, Ros Efendi Abd Rahman, 48, berkata, meskipun dari fizikalnya, Aniq Fitri kelihatan OKU, namun pemikirannya normal.
"Itu yang membuatkan dia ada ketikanya tertekan dan mudah mengamuk kerana sedih dengan keadaan diri.
"Dia kalau boleh nak jadi macam rakan-rakan sebayanya yang lain kerana dia ada pemikiran yang normal. Cumanya takdir Allah keadaan keupayaan fizikal dia tak normal," katanya.
Keadaan itu juga membuatkan Ros Efendi terpaksa membuat keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat pengiklanan bagi memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.
Bagi menyara hidup keluarga, dia mengambil upah membuat dekorasi di rumah pelanggan dan melakukan kerja-kerja sampingan lain.
"Untuk Aniq, saya terpaksa berhenti kerja kerana nak beri tumpuan sepenuhnya kepada dia untuk rawatan hospital, perubatan Islam, fisioterapi dan macam-macam lagi.
"Tapi melihat keadaan dia sekarang yang sudah boleh bekerja sendiri dan belajar hidup berdikari, saya sebagai bapa sangat bangga dan berharap dia lebih berjaya suatu hari nanti," katanya.
Tambahnya, jika pada awal Aniq Fitri bekerja, dia akan mengikut dari belakang bagi memastikan keselamatan anak kesayangannya itu.
Namun ujar Ros Efendi, selepas sebulan, dia 'melepaskan' anaknya itu mencari rezeki sendiri.
"Kalau orang lain tengok dia pun risau, apatah pula saya sebagai seorang bapa. Tapi saya kena kuatkan semangat, demi masa depannya.
"Sekarang ini saya dan isteri masih ada, bagaimana nanti jika kami tiada. Semestinya Aniq perlu belajar hidup berdikari," katanya.
Sementara itu katanya, dia dan isteri tidak menyangka akan dikurniakan anak istimewa kerana ketika dalam kandungan doktor maklumkan bayi berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun jelas Ros Efendi, pada hari kelahiran, doktor maklumkan yang bayi hampir lemas dalam perut dan isterinya perlu lahirkannya melalui pembedahan.
"Masa Aniq lahir pun doktor kata peluangnya hidup 50-50 dan seminggu berada dalam keadaan koma sebelum dibenarkan keluar dari hospital.
"Terus terang cakap ia bukan mudah untuk saya dan isteri terima pada awalnya kerana kami tiada pengalaman langsung dengan anak istimewa.
"Tapi ALLAH pilih kami dan saya dan isteri pun tak tahu bagaimana dapat kekuatan untuk memikul amanah ini," katanya.