X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid dan tiga MPKK tubuh pertubuhan jaga keselamatan kampung

Perasmian bangunan lama masjid sebagai pusat kawalan operasi pertubuhan.
A
A

MARANG – Tiga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berganding bahu dengan pengurusan Masjid Padang Mengkuang, di sini mencatat sejarah melalui penubuhan pusat kawalan kampung tahun lalu.

Pertubuhan disertai MPKK Padang Mengkuang, MPKK Taman Perumahan Batu 10, MPKK Batu 9 dan bernaung di bawah Masjid Padang Mengkuang itu didaftarkan dengan nama Pertubuhan Kebajikan dan Keselamatan Komuniti Masjid Padang Mengkuang.

Lebih menarik, pertubuhan mula beroperasi pada Januari 2019 dan didaftarkan dengan Jabatan Pertubuhan Malaysia pada 4 September lalu itu dikatakan satu-satunya pertubuhan keselamatan negeri ini yang diwujudkan hasil kerjasama pengurusan masjid dengan gabungan tiga MPKK.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Keselamatan Komuniti Masjid Padang Mengkuang, Muhammad Al-Hafiz Awang berkata, pasukan itu kini mempunyai kekuatan 62 anggota akan melakukan rondaan dalam tiga kawasan MPKK pada setiap malam.

“Penubuhan unit kawalan ini adalah inisiatif pihak pengurusan masjid, MPKK dan Rela setelah memikirkan perlunya kepada kawalan keselamatan kampung terutama waktu malam bagi menangani jenayah, maksiat dan penyalahgunaan dadah serta lumba haram.

“Semua anggota yang melakukan rondaan dibekalkan dengan alat perhubungan 'walkie talkie' bagi memudahkan komunikasi ketika rondaan.

“Ketua rondaan mereka akan melaporkan segala aktiviti atau perkara mencurigakan ke pos kawalan yang akan menghubungi polis sekiranya keadaan memerlukan kehadiran pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Taklimat akan diberikan sebelum rondaan bermula.
Taklimat akan diberikan sebelum rondaan bermula.

Pasukan itu turut bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang bersama Balai Polis Bukit Payong, Pasukan Bomba Sukarela Sri Payong dan Pasukan Tindakan Cepat Malaysia Cawangan Terengganu dalam beberapa aktiviti dan kaedah perhubungan.

Beliau yang juga Setiausaha Masjid Padang Mengkuang gembira kerana masyarakat mula sedar bahawa keselamatan kampung dan taman perumahan bukan hanya terletak di bahu polis, sebaliknya turut melibatkan peranan penduduk.

Ketua Operasi pasukan, Wahid Ismail yang melakukan pemantauan setiap malam berkata, ahli pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan akan berkumpul di bangunan lama masjid pada jam 11 malam dan mulakan rondaan di setiap 'check point' ditetapkan.

“Alhamdulillah, setelah pasukan ini beroperasi, kadar jenayah, maksiat dan gejala dadah sudah agak berkurang berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Padang Mengkuang, Zulkifli Wahab berharap lebih banyak lagi pasukan sebegini diadakan di setiap masjid negeri ini kerana selain mengurangkan aktiviti tidak sihat, ia juga merupakan kaedah terbaik untuk memupuk perpaduan antara masyarakat di bawah naungan masjid.

“Kita berterima kasih kepada ketiga MPKK dan semua masyarakat atas komitmen tinggi terhadap pasukan ini.

“Alhamdulillah, kita mempunyai bangunan lama masjid yang sebahagiannya telah dijadikan sebagai pusat kawalan operasi pertubuhan ini yang telah dirasmikan oleh ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada 4 Oktober lalu,” katanya.

Bersiap sedia untuk melakukan rondaan.
Bersiap sedia untuk melakukan rondaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!