Pelumba muda Vino Astana tekad bukti kemampuan

Vino Astana tekad mempamerkan persembahan lebih bertenaga di LTdL 2020.
Vino Astana tekad mempamerkan persembahan lebih bertenaga di LTdL 2020.
A
A
A

PASUKAN pembangunan utama berbasikal yang berpangkalan di Kazakhstan, Vino Astana Motors percaya mampu memberikan tentangan termasuk mencabar pasukan Jelajah Dunia dan Pro Benua pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Walaupun sekadar menghuni tangga ketiga kedudukan individu keseluruhan edisi lalu menerusi Vadim Pronskiy, Vino Astana Motors optimis dengan taruhan pelumba prospek berusia 20 tahun, Igor Chzhan dan Yevgeniy Fedorov yang berusia 19 tahun.

Chzhan dijangka sudah mampu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia selepas menamatkan Tour of Peninsular di kedudukan kedua keseluruhan sementara Fedorov juara acara Ujian Masa di Kejohanan Asia Bawah 23 tahun serta muncul naib johan acara lebuh raya di Kejohanan Asia tahun lalu.

Pelumba berusia 27 tahun Matvey Nikitin, yang memenangi Grand Prix Odessa di Ukraine pada Jun tahun lalu, menjadi taruhan Vino Astana dan dua pakar pecut dalam pembikinan, Grigoriy Shtein serta Alexandr Semenov akan memainkan peranan di laluan mendatar.

Chzhan dan Fedorov, dan Gleb Brussinskiy, 19, diberi peranan untuk mencabar kedudukan keseluruhan individu selain bersaing bagi kedudukan terbaik Asia.

Sementara itu, dua pelumba Fedorov dan Nikitin juga dijangka tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba nasib di Resorts World Genting Kota Kinabalu Criterium International dan MMC Langkawi Malaysian Classic selepas tamat perlumbaan LTdL 2020.

LTdL edisi ke-25 akan bermula di Kuching pada 7 Februari, sebelum menyeberangi Laut China Selatan menuju Kuala Terengganu untuk peringkat kedua, dan akan menghala Pantai Barat Semenanjung dengan cabaran queen stage ke puncak Genting Highlands menanti para pelumba di Peringkat 4, sebelum perlumbaan menghala ke utara tanah air dan peringkat terakhir, Peringkat 8 berlangsung di Pulau Langkawi.

Perlumbaan Resorts World Genting Kota Kinabalu Criterium International dengan jarak 86.7km akan menjadi prelud sebelum LTdL 2020, manakala MMC Langkawi Malaysian Classic melibatkan jarak 159km menjadi penamat pada 15 Februari ini.

Artikel Berkaitan: