MNKT setuju gubal Akta Pembaharuan Semula Bandar
PUTRAJAYA - Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MNKT ke-83 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini, dan turut dihadiri ahli Kabinet, wakil-wakil daripada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri.
Kor Ming berkata, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
"Kita sudah ketinggalan beberapa dekad berbanding dengan negara lain dalam isu pembaharuan bandar.
"Kadar perbandaran Malaysia sudah pun mencecah 75 peratus dan ia memberi tekanan terhadap risiko keusangan dan kemerosotan struktur bandar. Dengan penggubalan akta ini, kita dapat memastikan pembangunan bandar kita adalah mampan dan selamat untuk didiami," katanya.
Kor Ming berkata, tanpa penggubalan akta berkenaan, kerajaan perlu mendapatkan persetujuan sepenuhnya daripada penduduk jika ingin membangunkan semula sebuah bangunan yang usang dan daif.
Justeru, beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mewujudkan ambang persetujuan 80 peratus kepada bangunan yang berusia kurang dari 30 tahun dan 75 peratus kepada bangunan yang berusia lebih dari 30 tahun.
Bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami serta bangunan yang terbengkalai, KPKT bercadang untuk mewujudkan ambang persetujuan 51 peratus sahaja supaya dapat mempercepat proses pembaharuan bangunan terbabit.
Kor Ming berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengenal pasti 139 tapak berpotensi untuk dibangunkan semula dengan jumlah nilai pembangunan kasar RM355.5 bilion. - Bernama