'Azis Jamman patut berterima kasih kita bagi anak dia biasiswa' - Hajiji
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyelar sikap Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Azis Jamman yang tidak berterima kasih selepas permohonan biasiswa untuk anaknya diluluskan.
Hajiji berkata, pemimpin pembangkang itu bukan saja tidak berterima kasih malah terus menyerang kerajaan yang dipimpinnya.
"Azis Jamman patut berterima kasih kita bagi anak dia biasiswa. Janganlah berterima kasih pun tidak, tujuan kita baik untuk memberi khidmat membantu semua rakyat kita yang memerlukan.
"Jadi dia bukan berterima kasih tetapi 'hentam' lagi, inilah sikap mereka (pembangkang)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Beliau sebelum itu diminta mengulas isu meluluskan permohonan biasiswa untuk anak-anak pemimpin daripada pihak pembangkang yang didedahkannya pada Ahad lalu.
Hajiji turut mendedahkan Azis datang berjumpa dengannya untuk memohon kelulusan biasiswa untuk anaknya walaupun pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya.
Bagaimanapun, Azis dalam kenyataannya pada Isnin mempertahankan dirinya bahawa beliau datang kepada Ketua Menteri bukan sebagai musuh politik ketika memohon kelulusan biasiswa tersebut.
Azis berkata, Hajiji harus menyedari perbezaan antara peranannya sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin negeri.
Beliau turut mempersoal mengapa permohonan biasiswa anaknya dipolitikkan semata-mata kerana penglibatan politik dengan pihak pembangkang.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hajiji berharap mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Khamis ini dapat menyelesaikan isu yang tertunggak.
"Mesyuarat ini akan dipengerusikan Perdana Menteri, jadi kita berharap sangat dapat merungkai dan juga menjayakan beberapa isu dalam MA63.
"Memang ada lagi isu-isu yang tertunggak yang perlu diselesaikan dan banyak juga yang telah dilaksanakan. Jadi inilah tujuan mesyuarat itu diadakan," katanya.
Ditanya lanjut adakah mesyuarat itu termasuk membincangkan isu tuntutan 40 peratus, beliau berkata, itu antara yang akan dirunding bersama Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan.
"Ya, semualah termasuk di sana (40 peratus), mana-mana perkara yang belum lagi selesai kita akan dirunding baik-baik dengan Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan supaya dapat dilaksanakan perjanjian yang telah dimeterai itu," katanya.