Cikgu Sabrina kuat semangat, akan kembali bertugas selepas cuti sekolah - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri) menahan sebak sewaktu mendengar luahan guru yang kematian anak Sabrina Hakiem Zaini, 39, semasa menziarah keluarga kematian anak tersebut di Taman Kelemak Utama pada Isnin. Foto Bernama
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri) menahan sebak sewaktu mendengar luahan guru yang kematian anak Sabrina Hakiem Zaini, 39, semasa menziarah keluarga kematian anak tersebut di Taman Kelemak Utama pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Guru kematian anak di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama pada Jumaat lepas, akan kembali bertugas selepas cuti sekolah pertengahan penggal kedua ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Sabrina Hakiem Zaini, 39, sangat komited untuk melaksanakan tugasnya di sebalik ujian ditempuhi ketika ini.

"(Sabrina akan kembali bertugas) selepas cuti September inilah (cuti sekolah pertengahan penggal kedua dari 13 hingga 21 September). Jadi beliau buat keputusan untuk meneruskan (kerjaya sebagai guru).

"Nampak beliau masih mempunyai semangat yang kuat dalam pendidikan dan merupakan guru yang sangat komited,” katanya ketika menziarahi Sabrina dan keluarganya di Taman Kelemak Utama di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan memberi segala sokongan dan bantuan diperlukan guru itu termasuklah persediaan untuk beliau kembali bertugas nanti.

"Kita beri tumpuan dulu dari segi psikososial dan mungkin juga persiapan untuk beliau kembali mengajar sebab sebelum ini beliau cuti mengajar agak lama,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata di taska berkenaan pada 3.30 petang pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Bapa bayi itu Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, memaklumkan anaknya Muhammad Al Fateh Amri baru lima hari dihantar ke taska berkenaan.

Lebih menyayat hati Mohd Fikry Amri dan Sabrina sudah menunggu 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!