Ada kepincangan pengurusan taska di Melaka - Exco

Kalsom (kiri) ketika menziarahi pasangan suami isteri itu di kediaman mereka di Taman Kelemak Utama pada petang Sabtu.
Kalsom (kiri) ketika menziarahi pasangan suami isteri itu di kediaman mereka di Taman Kelemak Utama pada petang Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri Melaka kesal dan terkilan apabila kes melibatkan bayi meninggal dunia di tangan pengasuh masih berlaku di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin berkata, terdapat kepincangan dalam pengurusan pusat jagaan di negeri ini sehingga melibatkan kematian yang berpunca daripada sikap pengasuh.

Menurutnya, cara kematian bayi dalam kes taska di Taman Kelemak Utama pada Jumaat lalu adalah sama seperti kes pada 27 Oktober 2022.

"Terdapat sedikit persamaan dan kepincangan yang berlaku di setiap taska ini, macam melepaskan batuk di tangga dan adakah mereka (pengasuh) peka akan perbuatan salah itu?

"Maknanya paling senang nak jaga, bedung bayi kemudian bagi susu dengan harapan bayi tak bergerak dan tidur, sedangkan cara penjagaan begitu salah dan ini sudah kes kedua terjadi dengan cara kematian itu sama puncanya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, di Taman Kelemak Utama di sini pada Sabtu lalu.

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Melaka, Halyjah Muhammad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi Jumaat lalu, anak sulung pasangan itu, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Oktober 2022, Haura Najia Mohd Kamaruddin Helsa, 6 bulan, dilaporkan tidak sedarkan diri oleh pengasuh di sebuah taska selepas dibedung lebih 10 jam dan diberikan susu.

Selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Melaka, bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 8.54 pagi di Hospital Melaka.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha taska pada bulan depan bagi mengekang sikap atau 'modus operandi' sama pengasuh itu daripada terus berulang.

"Saya mengambil serius hal ini dan akan banteras habis-habisan kerana tidak mahu lagi berlaku kes ketiga dengan modus operandi sama yang menggunakan cara penjagaan salah seperti bedung bayi dan sumbat botol susu.

"Pertemuan itu supaya setiap pengasuh akan diberikan latihan dan advokasi walaupun sebelum ini memang sudah ada garis panduan ditetapkan JKM yang perlu dipatuhi pengasuh," katanya.

Berdasarkan rekod terdapat 137 buah taska berdaftar di Melaka iaitu 101 premis di daerah Melaka Tengah dengan jumlah kanak-kanak melebihi 20,000 orang.

Ia diikuti 19 taska di Jasin dan 17 di Alor Gajah yang menjaga hampir 700 kanak-kanak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!