Seramai 122,062 murid Tahun 1 ikuti program intervensi
PUTRAJAYA - Seramai 122, 062 daripada 448,113 murid Tahun 1 mengikuti program intervensi yang dijalankan selama tiga bulan bermula Ogos lepas.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, program itu khusus untuk murid yang belum menguasai literasi dan numerasi pada tahap minimum.
"Daripada jumlah tersebut, 45,465 murid belum menguasai literasi, 13,669 murid tidak mencapai tahap penguasaan minimum numerasi manakala 62,928 murid belum menguasai kedua-duanya," katanya menerusi sidang akhbar Intervensi Kurikulum di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Nor Saidatul Rajeah Zamzam Amin.
Mengulas lanjut Azman berkata, saringan akan dilakukan sekali lagi apabila tempoh intervensi fasa pertama itu tamat selepas tiga bulan.
"Sekiranya mereka berjaya menguasai tahap penguasaan minimum, murid-murid akan kembali ke kelas arus perdana seperti sebelumnya.
"Jika masih belum mencapai tahap penguasaan minimum, murid-murid akan meneruskan program intervensi fasa kedua bagi tempoh tiga bulan berikutnya," jelas Azman.
Menurutnya, langkah seterusnya akan dipertimbangkan KPM berdasarkan keputusan saringan program intervensi kedua kelak.
"KPM tidak mempunyai dasar untuk menyekat murid daripada menaiki darjah seterusnya, tetapi kita akan meneruskan intervensi bersesuaian bergantung kepada saringan fasa 2," jelasnya.
Ditanya adakah murid berkenaan ditempatkan dalam bilangan kelas lebih kecil, Azman berkata, ia bergantung kepada pengurusan sekolah dan guru-guru terlibat.
"Kebiasaannya, di sekolah kumpulan murid dalam jumlah lebih kecil adalah lebih baik dan mudah untuk diberi bimbingan bagi memastikan mereka lebih kompeten," katanya.
Pada Mac lalu, KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.
Ia termasuklah penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.
Program intervensi adalah inisiatif kedua dalam reformasi pendidikan negara.