Kanak-kanak 2 tahun hilang dijumpai selamat

Orang ramai turut bersama membantu mengesan kanak-kanak 2 tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pangsapuri di Putrajaya semalam.
Orang ramai turut bersama membantu mengesan kanak-kanak 2 tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pangsapuri di Putrajaya semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun yang dilaporkan hilang ketika berada di bawah jagaan abangnya di sebuah unit pangsapuri di tingkat lima, Presint 15, di sini, ditemui selamat di tingkat 17, blok sama, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad Ibrahim Iskandar Mohd Rizal itu ditemui seorang diri dalam keadaan lemah dan kelaparan pada jam 1.25 pagi.

"Anak bongsu daripada tiga beradik itu telah dibawa turun ke rumahnya di tingkat lima sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut," katanya melalui kenyataan media pagi tadi.

Terdahulu, kejadian itu disedari bapa kanak-kanak itu apabila menerima panggilan daripada anak sulungnya pada jam 6.18 petang ketika berada di sebuah stesen minyak di Sri Ramal.

Rosly berkata, lelaki berkenaan kemudian pulang ke rumah untuk mencari anaknya selain turut meminta pertolongan komuniti perumahan berkenaan untuk mengesan kanak-kanak tersebut.

"Lelaki itu kemudian pergi ke Balai Polis Presint 11 pada jam 10.30 malam untuk membuat laporan setelah gagal mengesan anaknya," katanya.

Beliau berkata, kawasan operasi mencari dan menyelamat diperluaskan termasuk mengesan kanak-kanak itu di setiap aras blok bangunan berkenaan.

"Selain itu, rondaan bermotosikal di kawasan luar perumahan itu turut dilaksanakan sehingga kita menjumpai kanak-kanak itu," katanya.

Artikel Berkaitan: