Waspada rentak kayuhan Thailand Continental Team

Barisan pelumba Thailand Continental Team yang bakal bersaing pada LTdL 2020.
Barisan pelumba Thailand Continental Team yang bakal bersaing pada LTdL 2020.
A
A
A

THAILAND Continental Team kembali hadir mewarnai saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dengan potensi sebagai antara pasukan yang mampu melakukan kejutan berbekalkan beberapa pencapaian sebelum ini.

Pasukan benua Thailand itu bakal menampilkan pelumba berdarah kacukan Perancis-Laos, Ariya Phounsavath yang baru meraih kedudukan kedua keseluruhan pada saingan Jelajah Asia - Cambodia Bay bulan lalu.

Ariya yang merupakan pelumba Laos pertama berjaya memenangi emas acara lebuh raya Sukan SEA 2013 di Myanmar bakal hadir dengan matlamat meneruskan prestasi konsisten di Malaysia.

Antara kejayaan yang dicatatkan sepanjang bersaing di negara ini termasuklah meraih kedudukan kedua pada Piala Ketua Menteri Melaka 2014; kelima Jelajah Malaysia 2017 dan ke-16 keseluruhan LTdL 2014.

Ariya yang disasarkan untuk merebut salah satu daripada empat jersi LTdL kali ini bakal dibantu dengan kehadiran pelumba berpengalaman, Phuchong Saiudomsin selain tiga pelumba Thailand yang membentuk skuad Ujian Masa Berpasukan yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA lalu.

Sarawut Sirironnachai, Navuti Liphongyu dan Peerapol Chawchiangkwang dijangka menyuntik kekuatan berganda bagi membantu Ariya seterusnya bersedia menghambat kumpulan pelumba yang melakukan pemecahan mahupun mempertahankan posisi dalam peloton jika keadaan memerlukan.

Seorang lagi pelumba Thailand, Thurakit Boonratanathanakorn pula diletakkan sebagai pelumba simpanan bersama pelumba berpengalaman negara, Loh Sea Keong.

Dalam saingan kali ini yang turut dibarisi pasukan pro tour, NTT Pro Cycling serta skuad benua profesional - Bardiani CSF Fanzane, Vino Zabu KTM, Androni Giocatolli dan beberapa yang lain, perebutan Jersi Kuning keseluruhan diperakui nampak mencabar.

Artikel Berkaitan:

Namun, bagi Thailand Continental Team, sasaran meraih Jersi Putih seharusnya berada dalam jangkauan.

Saingan Asia yang menampilkan 10 pasukan, antaranya China, Hong Kong, Indonesia, Kazakhstan, Jepun dan Malaysia memungkinkan Thailand Continental Team yang dibarisi Ariya menjadi calon bagi menyambar Jersi Putih.