Tiada perbincangan laksana semula PPSMI: Nie Ching

Nie Ching
Nie Ching
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan kelmarin, sebaliknya perkara itu hanya disebut dalam kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, kenyataan itu disebut Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan pada mesyuarat tersebut.

"Perkara itu bukan dalam agenda mesyuarat dan kita tidak bincangkan perincian seperti garis masa dan pelaksanaannya. Itu hanya kenyataan pembukaannya ketika mesyuarat yang bermakna belum ada keputusan rasmi (tentangnya).

“Walaupun jika beliau berkata demikian, kementerian perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu," katanya ketika ditemui beberapa pemberita media berbahasa Cina dalam satu program di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rakaman video kenyataan Dr Mahathir berkenaan perkara itu yang dimuat naik di akaun YouTube rasmi Perdana Menteri semalam.

Dalam rakaman itu, Dr Mahathir berkata, PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM

Nie Ching berkata, secara peribadi beliau berpendapat bahawa Dr Mahathir hanya menyuarakan pandangan dan visinya sendiri terhadap pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Beliau melihat kemahiran bahasa Inggeris merupakan perkara penting dalam komunikasi dan pekerjaan.

"Saya fikir kita tidak bincangkan pengenalan semula PPSMI. Ia boleh juga (melalui) pengukuhan Dual Language Programme (DLP) seperti yang dilaksanakan di Sarawak," katanya.

Mulai tahun ini, DLP dilaksanakan di sejumlah 1,048 sekolah rendah di Sarawak seterusnya memberi pilihan kepada murid seawal Tahun Satu untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.