Pengurangan kadar tol 18 peratus langkah berperingkat: Guan Eng

Keadaan di Plaza Tol Jalan Duta sebelum bermulanya pengurangan kadar tol di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ketika tinjauan. -Foto Bernama
Keadaan di Plaza Tol Jalan Duta sebelum bermulanya pengurangan kadar tol di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ketika tinjauan. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bermula tengah malam ini adalah langkah secara berperingkat yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mencapai matlamat akhir untuk menghapuskan tol, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, beliau berkata penghapusan tol itu tentu akan mengambil masa bergantung kepada keadaan ekonomi negara.

"Kalau kita lihat apa yang kita sebut bahawa ini adalah langkah secara berperingkat untuk matlamat akhirnya. Itu ialah yang dinyatakan dalam janji manifesto PH. Tapi ini tentu akan makan masa kerana kita kena tunggu ekonomi pulih," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan DAP Pulau Pinang.

Janji keenam dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam ucapannya berkata kerajaan akan melancarkan program rangsangan ekonomi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mapan yang berterusan.

"Kita akan berusaha lebih untuk tarik pelaburan. Semalam saya pengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Negara bersama dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan saya nak beritahu RM1.3 bilion pelaburan adalah ke Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan bahawa sememangnya pelaburan masih datang dan masuk ke Malaysia dan juga ke luar negeri. Hari ini kita terus jalankan usaha untuk mengurangkan kos sara hidup dengan pengurangan tol di Lebuhraya PLUS.

"Kita akan buat program-program lain dan pada masa yang sama kita pastikan pelaburan boleh masuk dengan cepat. Ini kita yakin dapat memastikan kehidupan rakyat dalam pembangunan ekonomi boleh terus dikekalkan," katanya. -Bernama