Bazar Peduli Rakyat N9 catat jualan lumayan

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir (dua dari kiri) melihat buah durian ketika melancarkan Bazar Peduli Rakyat di Kuala Klawang hari ini.
Turut kelihatan Pengarah FAMA negeri Asmizal Jaafar (dua, kanan) dan Pengarah Veterinar negeri Dr Nik Hamidah Husin (kanan). - Foto Bernama
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir (dua dari kiri) melihat buah durian ketika melancarkan Bazar Peduli Rakyat di Kuala Klawang hari ini. Turut kelihatan Pengarah FAMA negeri Asmizal Jaafar (dua, kanan) dan Pengarah Veterinar negeri Dr Nik Hamidah Husin (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan merekodkan nilai jualan sebanyak RM126,876 menerusi program Bazar Peduli Rakyat (BPR), tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Beliau berkata, ia merupakan hasil keseluruhan jualan direkodkan melibatkan enam kali penganjurannya di negeri ini sejak ia bermula Mei tahun lepas.

"Di Taman Kemuning, Senawang kita memperoleh nilai jualan berjumlah RM87,121 dengan penglibatan seramai 90 orang usahawan tani manakala di Kampung Rawa, Lenggeng memperoleh nilai jualan RM39,755 dengan penglibatan 69 orang usahawan tani," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis Pelancaran Bazar Peduli Rakyat@Jelebu di sini, hari ini yang turut dihadiri, Pengarah FAMA negeri Asmizal Jaafar, Pengarah Perikanan negeri Halimi Abu Hanip dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Dr Nik Hamidah Nik Husin.

Mengenai BPR Jelebu yang diadakan di Klawang, Bakri berkata, ia merupakan lokasi terbaharu di negeri ini membabitkan seramai 29 usahawan yang menawarkan harga barangan keperluan harian sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Katanya, antara barangan keperluan harian yang dijual ialah sayur, telur, hasil laut kering, buah-buahan, ayam segar, daging segar, ikan laut, produk industri asas tani, kraftangan, anak pokok buah-buahan dan baja.

"Bazar ini diadakan bagi menyediakan lokasi membeli-belah alternatif bagi pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah dan berpatutan selain menjadi pasaran alternatif bagi usahawan tani untuk memasarkan secara terus hasil pertanian dan produk agro makanan keluaran mereka bagi meraih pulangan yang lebih munasabah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: